AKU,
UNIT KECEMASAN DAN KEMATIAN
Hari
itu, mendung. Angin agak kuat di luar rumah. Tidak sampai beberapa saat, hujan
mula mencurah-curah dengan lebatnya. Kesan asma yang menyerang sejak malam tadi,
kian terasa sakitnya. Saya kelesuan setelah mengambil satu biji lagi tablet
ventolin 2mg disamping inhaler yang tidak terlepas daripada genggaman.
Lain benar serangan sekali ini. Saya pernah alaminya kira-kira lima tahun yang
lalu. Hampir sama. Namun, sekali ini kelihatan agak serius. Puas saya cuba
mengingatkan puncanya sehingga tercetusnya ‘kemarahan’ asma sekali ini. Namun, saya gagal mengesannya.
Beberapa
minit berlalu, keadaan saya bertambah teruk. Batuk-batuk kecil bagaikan tidak mahu
berhenti. Muntah bendalir menyukarkan keadaan. Nafas saya bagaikan tersekat.
Peluh dingin nan cemas serta panik membasahi wajah. Justeru, saya meminta anak
sulung saya mendapatkan bantuan jiran bagi membawa saya ke hospital, lataran
suami dan adik saya bertugas di luar kawasan pada saat itu. Sejurus itu, saya dibantu oleh
anak perempuan saya yang berusia 10 tahun, menyiapkan dokumen untuk dibawa ke
hospital.
Kurang
sepuluh minit, jiran yang merangkap sahabat baik saya tiba di muka pintu. Dia
memimpin saya yang sangat-sangat tidak berdaya itu. Dalam keadaan yang cuba
bertenang, saya tetap kalah! Dua tiga langkah keluar dari rumah, saya terpaksa
berhenti. Situasi pada ketika itu, bagaikan sedang memikul batu besar di
belakang dan ditindih bahan yang sama di atas dada. Namun, saya gagahkan diri.
Dengan langkah berat dan tersekat-sekat, saya menuruni anak tangga dan terpaksa
berhenti di setiap tujuh anak tangga yang mempunyai empat belas anak tangga,
dari satu tingkat menuju ke satu tingkat yang lain. Saya pula tinggal di
tingkat lima. Ketika itu, saya terfikir … mungkin inilah kali terakhir saya
melihat wajah anak-anak saya.
Sepanjang
perjalanan ke hospital, hanya zikir yang terbit di bibir. Setiba di hospital, saya
terus disorong dengan kerusi roda oleh sahabat baik saya. Pembantu Perubatan (MA) yang tertugas
di pintu masuk Unit Kecemasan dan Trauma, segera menghampiri dan
mula bertanya masalah kesihatan saya. Ketika itu, saya sudah tidak boleh
berkata-kata langsung. Dalam situasi itu, dengan nafas yang tersekat ketat dan hanya
gerakan bibir terbaris perkataan ini, “Asma.”
Kemudian,
saya diperiksa dalam kiraan beberapa saat sahaja. Tanpa berlengah lagi, saya
disorong oleh sahabat saya tadi, dengan bantuan petugas Unit Kecemasan menuju terus
ke Ruangan Asma. Alhamdulillah, rawatan pusingan pertama berjalan dengan lancar.
Saya kepenatan, namun sudah boleh bercakap. Lebih kurang sepuluh minit berlalu,
saya diberikan dos kedua bersama satu suntikan di tangan kiri. Segalanya tampak
lancar dan keadaan saya beransur baik. Namun, dalam saluran pernafasan saya masih
terdengar bunyi-bunyian, yang menimbulkan kerisauan. Kemudian setelah berehat
agak lama, saya diberikan dos ketiga pula. Selepas itu, saya dirujuk kepada
doktor yang bertugas. Doktor itu mula menyoal kronologi penyakit saya dari A
sampai Z. Kemudian, saya diarah mengambil X-Ray. Tanpa banyak bicara,
saya akur dan selepas itu saya menunggu lagi di ruangan asma untuk pemeriksaan
lanjut. Debaran kecil meniti apabila doktor itu datang bersama rakan setugasnya
seorang doktor lelaki yang berwajah serius. Setelah membuat pemeriksaan, saya
ditolak masuk ke bilik kuning atau lebih sinonim dengan ZON SEPARA KRITIKAL.
Agak
lama juga saya di situ. Debaran dalam hati bertambah kencang. Saya tahu, penghujung
rawatan di sini pasti berlaku sesuatu. Kemudian, saya dipindahkan dari kerusi
roda ke katil untuk rawatan selanjutnya. Darah saya diambil dan ketika itu,
saya mohon jasa baik doktor perempuan tersebut untuk pulang. Saya tidak mahu,
ditahan di wad!
Direnung
wajah saya lama sekali, kemudian beliau berkata, “Keadaan puan tidak berapa
bagus. Jika puan pulang ke rumah pun, sudah tentu puan akan datang balik ke
sini. Saya pasti!” Jawapan tegas itu membuat saya terdiam dan akur lagi.
Berada
di zon ini, membuat saya berasa tidak berapa selesa. Kes-kes kecemasan di kiri
dan kanan saya menuntut kesabaran yang tinggi. Ada yang tersepit tangan pada
mesin besi, yang ketika itu masih berdarah dan sedang ditekap dengan tangan
kirinya. Ada yang ditimpa kemalangan dengan kesan kecederaan yang agak serius
di lutut dan kaki. Lebih kasihan, anak-anak kecil menangis kuat lataran demam
panas dan pelbagai situasi lagi. Saya mula terfikir, keadaan saya ini bukan
seteruk mereka yang luka dan cedera fizikalnya. Saya masih boleh bercerita itu
dan ini dengan sahabat saya, yang setia menemani ketika itu. Bagi saya, saya
sudah sihat! Padahal, saya sendiri dapat merasakan masih ada timbunan-timbunan
kecil yang menimbusi saluran pernafasan saya.
Kemudian, dos terakhir telah menentukan segalanya. Saya disahkan, benar-benar memerlukan rawatan selanjutnya. Tiada
masalah dengan paru-paru setelah meneliti X-Ray, cuma saluran pernafasan saya tidak berfungsi dengan
baik. Rawatan yang akan diberikan kepada saya setiap 20 minit sekali itu, menuntut
saya tinggal di wad dan rawatan ini hanya untuk pesakit asma yang sangat teruk
situasinya. Saya tetap berkeras demi anak-anak yang memerlukan saya. Begitulah
naluri keibuan saya memutuskan kata. Puas beliau menasihati saya. Malah,
beberapa orang doktor yang lain juga turut memberikan nasihat yang sama. Namun,
saya tetap dengan pendirian saya.
Sebelum
saya menandatangani surat merisikokan diri sendiri, beliau memberikan
nasihatnya yang terakhir, “Bagaimana ya, ingin saya katakan dengan bahasa yang
lembut? Hrmm … .” Saya menanti ayat seterusnya. Lama merenung saya, beliau
menyambung, “Seorang pesakit itu tidak patut mati hanya kerana asma, sebab asma
sebenarnya boleh dirawat.” Hanya ayat ini yang saya ingat dan semat dalam minda
saya. Selebihnya, saya tidak fokus lagi.
Pada
saat itu, dalam hati saya juga berkata-kata sendiri, “Seandainya telah
ditakdirkan Allah mahu membawa saya pergi … tiada perkara yang saya kesalkan
lagi, kerana anak-anak berada di sisi saya pada saat-saat terakhir saya. Saya
redha!”
Lama
membisu dalam tenang, saya mengangguk dengan senyuman tawar nan sekelumit.
“Saya faham dan saya berjanji sekiranya saya diserang lagi, saya akan
cepat-cepat datang ke sini untuk mendapatkan rawatan. Bolehkan, doktor?”
Dengan
berat beliau mengangguk dan cuba melempar sekuntum senyuman nipis. Namun, itu
pun beliau gagal lakukan dengan baik. Lalu beliau beredar pergi bersama dua
orang lagi rakan setugasnya. Selepas saya menandatangani surat itu, sempat saya
berkata kepada seorang lagi doktor yang juga merupakan rakan setugas doktor
serius itu tadi. Kata saya, “Kadang-kadang, kita terpaksa membuat keputusan
yang bukan pilihan kita.”
Beliau
hanya mengangguk dan meninggalkan saya di situ. Saya dan sahabat saya, mula
menapak menuju ke farmasi. Cerita hari itu bagaikan berakhir dengan begitu sahaja
sebagaimana ia tercetus dengan tiba-tiba. Benarkah tidak ada kesinambungan
lagi?
Menjelang
pukul 11 malam, saya sampai di kawasan perumahan yang saya diami. Saya
kepenatan dan begitu lemah sekali. Hampir di setiap tingkat juga saya terpaksa berhenti
dan rehat. Syukur, saya selamat tiba di rumah biarpun dalam keadaan yang tidak
berdaya. Awal pukul 12 tengah malam, saya terlena dalam keletihan. Namun, saya
terjaga sekitar pukul 3 pagi dan mengerang kesakitan. Asma menyerang lagi! Saya
panik seketika. Rasanya, saya mahu terbang ke hospital bagi mendapatkan
rawatan. Pada saat itu, tergiang-giang di telinga kata-kata akhir doktor tersebut.
Terlintas di fikiran, adakah waktu saya telah sampai? Beginikah kesudahan
pesakit asma seperti saya? Kematian? Oh! Ya Allah, Kau lindungilah aku! Hanya
pada-Mu aku berserah!
Dalam
situasi yang begitu cemas, panik dan lemah, entah bagaimana terterjah dalam
hati bagaikan anak panah kata-kata ini: Dengan izin Allah, telah membawa saya
pulang ke rumah dan sudah tentu saya mampu mengatasi segala permasalahan
daripada keputusan tegas yang telah saya muktamadkan itu. Bukankah saya telah
serahkan semuanya kepada Allah? Saat itu juga, bayangan wajah orang-orang yang
saya sayangi dan kasihi bermain di mata. Cepat benar ia membakar semangat dan
keazaman saya. Saya mesti terus bertahan demi mereka! Saya percaya, inilah
keajaiban yang Allah kirimkan kepada saya. Lalu, saya berikhtiar dengan
menyedut inhaler dengan lebih kerap. Alhamdulillah, sesak nafas saya
dengan perlahan beransur-ansur stabil.
Saya
tertidur sebentar. Saya terjaga, apabila terasa saluran pernafasan saya seperti
diikat ketat. Bunyi nafas saya agak kuat
sehingga membuat anak kedua saya, yang tidur di ruang tamu terjaga. Saya bingkas
bangun sambil mengucap dan beristighfar banyak-banyak. Anak kedua saya
mengosok-gosok belakang saya dengan perlahan-lahan. Tiada perkara lain yang
saya fikirkan ketika itu, selain kematian!
Sekali
lagi, saya memohon pertolongan Allah dengan bersungguh-sungguh dan hati yang
benar-benar mengharap. Semoga Allah panjangkan usia saya, kerana banyak lagi
perkara yang belum saya sempurnakan sebagai hamba-Nya yang kerdil. Tidak sampai
beberapa minit, azan subuh mula kedengaran … Alhamdulillah! keadaan saya mula
beransur lega. Namun, dada masih memberat dan saya sesungguhnya sudah tidak
bermaya lagi.
Fajar
mula menyinsing. Dengan wajah yang masih pucat, saya mula memakan ubat-ubatan
yang doktor bekalkan. Alhamdulillah! Hari ini berlalu dengan baik, biarpun saki
baki kesakitan kelmarin masih terasa. Saya sudah beransur pulih. Syukur pada-Mu
ya Allah!
Banyak
perkara yang saya belajar daripada pengalaman ini. Salah satunya: Jiran atau sahabat
yang prihatin, mengambil berat dan melimpah kasih sayangnya bukan diukur
daripada puluhan tahun perkenalan. Biarpun hanya mengenalinya melalui kepingan
foto dan cerita di ruangan sosial, itu sudah memadai untuk mengeratkan ukhwah.
Biarpun hanya bertukar pandangan serta pendapat, itu sudah cukup syaratnya untuk
merapatkan silaturahim. Keikhlasan itu sememangnya tidak dapat dilihat. Namun
hati dapat merasakannya. Terima kasih atas kiriman doa buat saya. Berkat
doa-doa nan mulus itu, Allah telah kurniakan kesembuhan buat saya detik demi detik.
Syukran!
Seperkara
lagi, jika anda pesakit asma: DILARANG mengumpul, menangguhkan dan menahan
serangan kecil asma, kerana ia boleh menjadi ribut taufan yang mengganas! JANGAN
membebankan diri anda dengan terlalu banyak tekanan atau permasalahan dalam
hidup. Cukuplah laluinya dengan berani, tabahkan hati dan redha. Ikhtiar dan
usaha seadanya kudrat. Semuanya dalam aturan Allah. PALING PENTING: Jika
keadaan sudah tenat seperti saya ini, cepat-cepat menghubungi ambulans.
Semoga
kita sentiasa dalam penjagaan Allah hendaknya. Insya-Allah.