RINDU DINGIN MUSIM TENGKUJUH
Aku
lihat hujan jatuh di hujung jendela kaca. Titisannya mengimbau banyak
nostalgia. Aku menarik nafas dalam-dalam sambil kupejamkan mataku rapat-rapat.
Segar angin itu membawa aku jauh mengembara. Mengembara mencari monumen kenangan
yang terbina waktu kecilku … .
Hujan
masih belum berhenti. Jernih air hujan mula memenuhi laman. Sayup-sayup kedengaran, ombak pula kian
deras menampar dada pantai. Aku tersenyum sendiri. Saat yang dinanti-nanti
bakal menjelma. Tidak esok, mungkin lusa. Mungkinkah juga malam ini? Oh! Hatiku
melonjak-lonjak kegirangan.
Sejak
matahari mengundurkan diri buat sementara waktu, banyak persiapan lain yang
ayah dan ibu sediakan buat aku, kakak dan abang. Baju tebal atau aku lebih suka
memanggilnya baju sejuk sudah ayah belikan. Baju sejuk yang berwarna merah jambu terang itu menjadi kegemaranku.
Pagi
itu, ibu kejutkan aku lebih awal daripada biasa. Ibu tersenyum kepadaku yang
mengeliat malas itu.
“Air
sudah naik,” kata ibu dengan senyuman manisnya yang kian melebar.
Aku berlari anak menuju ke
pintu dapur. Aku bergegas ke rumah jiran sambil meredah sejuknya air yang
membanjiri kawasan rumah.
“Bah!
Sudah bah!” kataku dengan girang sekali.
Selepas
itu, aku dan jiranku tadi bergegas ke rumah jiran yang lain pula. Kami
berkumpulan meninjau ke serata kampung. Kami menyeberang dari satu lokasi ke
satu lokasi yang lain. Hinggakan aku hampir dibawa arus kerana gagal mengimbangi
diri, sewaktu menyebarangi jalan untuk ke rumah jiran yang terletak di hujung
kampung. Bukan itu sahaja, ada sesetengahnya berpelampung dan berperahu. Tidak
kurang juga yang berpayung sambil menjinjit selipar masing-masing. Tua dan muda
saling tertawa riang. Sesekali bergelak ketawa sambil bermain air. Air bah oh!
Air bah! Kedatanganmu sedang diraikan!
Sepagi
kami bermain air. Badan sudah menggeletar kesejukan. Bibir pun sudah
kebiru-biruan. Namun, hati terasa berat untuk pulang ke rumah. Sebentar lagi,
air bah ini akan surut. Penduduk di kampung seberang, yang kini sudah
ditenggelami air sedang menggali kuala, agar air bah itu terlepas ke dalam
laut. Situasi ini berlaku kerana kampung mereka terletak benar-benar di tepi
sungai. Maka, air bah terlebih dahulu melanda kampung mereka. Dengan cara ini,
mereka dapat menyelamatkan keadaan yang berkemungkinan besar menjadi bertambah
buruk.
Pada
musim itu juga, sebelum malam, aku sudah siap sedia di hadapan ayah yang sedang menyalakan
lampu gasolin. Ibu pula sibuk menyalakan pelita minyak tanah. Bekalan elektrik telah
terputus sejak beberapa hari yang lalu. Begitulah untuk esok, lusa dan
hari-hari seterusnya sehinggalah segalanya menjadi pulih seperti sediakala. Seluruh
kampung bergelap. Malam kian larut. Hanya bunyi hujan kedengaran. Sesekali
kedengaran suara si katak yang terus memanggil hujan. Bertemankan samar-samar
cahaya pelita minyak tanah itu, aku, kakak dan abang saling bertukar cerita seram dalam versi kisah 'Pada Zaman dahulu'. Ada ketikanya pula kami juga bermain bayang-bayang. Riangnya kami waktu itu hinggakan tidak sedar malam kian larut. Segalanya bagaikan bergema di telingaku saat ini. Oh! Kakak dan abang ... entah mengapa aku berasa begitu rindukan kalian!
Musim
itu juga, tidak lengkap tanpa ubi biru yang dicecah bersama kepala parut. Tidak
manis tanpa putu ubi kayu berbentuk bulat, bersaiz lebih kurang sebesar piring
dan di dalamnya berintikan gula melaka. Pasangan putu ini juga adalah kelapa
parut. Satu-satunya yang aku ingat sampai hari ini, adalah putu gula melaka mak
ngah, yang rumahnya terletak di belakang sekolah rendah di kampungku. Namun, bukan
itu yang paling aku rindukan. Aku rindukan kerabu bunga kacang laut masakan ibu!
Aku
tidak pasti, nama saintifiknya. Tumbuhan ini berjalar di atas pasiran pantai
dan bunganya berwarna ungu. Setahu aku, ianya tumbuh hanya pada musim
tengkujuh. Bertahun ketiadaan ibu, aku tidak tahu sama ada, kacang laut ini
masih wujud atau pun tidak. Lataran, ombak sudah menghakis pantai. Kini, hanya
batu-batu besar yang menjadi benteng.
Puluhan
tahun berlalu. Waktu itu, begitu aku rindukan saat ini. Lebih-lebih lagi aku kini
berada di tempat orang, yang tiada kebarangkalian langsung untuk aku
mengulanginya semula. Aku hanya menyaksikan kemeriahan itu melalui kaca
televisyen sepanjang banjir melanda di bumi bertuah itu.
Sungguh!
Memori itu tinggal memori. Memori biasa-biasa yang akan kusimpan kemas sampai
bila-bila!
Aku rindukan hujan itu
Aku rindukan bah yang dingin
Aku rindukan lagu ombak yang membahana
Aku rindukan segalanya mengenai musimnya
Aku tahu
Aku paling rindukan ibu!
Al-Fatihah buat bonda tercinta. Semoga rohmu
dicucuri rahmat. Amin.
Akhirnya ada catatan baharu di blog akak. :)
ReplyDelete-jamilah
Terima kasih atas sokongan. Insya-Allah akan datang ke blog akak, 'AJNABI'.
ReplyDeleteTerima kasih atas sokongan. Insya-Allah akan datang ke blog akak 'AJNABI' sekitar minggu depan.Doakan akak, ya.
ReplyDeleteNi ke mak beh novel berssiri tu?
ReplyDelete