Nota Untuk Nurlissa

NOTA UNTUK NURLISSA, meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya. Menyentuh hati saya dengan caranya sendiri. 

Nurlissa adalah insan biasa yang pernah melakukan kesilapan dan pernah melalui kegagalan. Namun, saya sematkan sifat luar biasa pada ketabahan, keazaman, cita-cita, impian dan harapan besarnya.

Biarpun begitu, sifat biasa Nurlissa dengan rapuh mempengaruhi diri…dia hampir rebah dengan begitu banyak kesan luka dalam hati. Namun, seseorang telah hadir di sisi. Hadir mengingatkan dia betapa manisnya setiap ujian dan dugaan yang diatasi dengan semangat perjuangan. 

Ketulusan kasih sayang keluarga adalah sumber kekuatan, yang tidak mungkin dapat ditukar ganti. Ayah, kak long, Afiqah dan mama yang tidak pernah berhenti mencurah kecintaan terhadap Nurlissa membuat saya benar-benar terharu.

Persahabatan yang tercipta di antara Nurlissa, Farina dan Fahim mencerminkan keikhlasan. Keikhlasan yang teruji dengan pelbagai cabaran. Fahim yang mempunyai kelebihan tersendiri dalam serba kekurangan. Farina yang sentiasa ingin melindungi. Syahir sebagai penyelamat dan abang budiman, mencipta garis-garis pelangi dalam hidup Nurlissa. 

Jauh di sudut hati, amat tersentuh dengan watak Daniel yang kini lebih jujur dan tulus dalam menghulurkan persahabatan baharu. Maya yang bersikap iri, menyimpan rahsia dan rindu dalam hati. 

Watak-watak ini sentiasa bersemi dalam hati saya. Saya mengkagumi kesungguhan dan ketulusan hati mereka. 

PENGALAMAN

Selama sesi menulis karya ini, terlalu banyak dugaannya. Komputer ‘hang’ dan ‘hang’ pada satu-satu masa saya menulis. Setiap novel baharu adalah pelajaran baharu bagi saya. Ini adalah suatu titik permulaan yang sangat baik. Cita-cita dan impian saya juga semakin membesar. Saya mahu mencapainya. Saya tahu, ia bukan mudah. Namun, saya akan gandakan usaha sampai berhasil!

Seperkara yang penting saya pelajari melalui karya ini, jatuh bangun dalam kehidupan adalah lumrah. Meski pun hati, jiwa dan perasaan mengalami kecederaan serius. Sekali pun kaki terasa lemah dan longlai untuk terus melangkah. Namun, masih ada kuntuman doa dan harapan yang selalu menjadikan diri lebih tabah!

Aku, dikau atau dia atau pun kita
Atau pun sesiapa juga di muka bumi ini
Pernah berada di situ… di sudut jalan gerhana atau jalan kelam
Atau pun jalan penuh liku
Bezanya hanyalah masa … terlalu lama atau sebentar
Atau pun berulang kali melaluinya
Tiada bezanya, kerana kecintaan terhadap-Nya tidak pernah pudar!

No comments:

Post a Comment