‘Dia, Sahabatku’ begitu dekat di hati saya. Ia memberi seribu makna buat diri saya. Di dalamnya tertitip sejuta impian, cita-cita dan harapan. Melaluinya juga, saya mengenal erti keazaman dan kesungguhan kerana novel ini merupakan manuskrip pertama yang saya hasilkan sebelum ‘Terima Kasih Adik-adikku!”
KRONOLOGI
Dia, Sahabatku pernah ditolak dan dirombak berkali-kali. Pada ketika itu, saya masih kabur mengenai ‘Novel Tarbiah Remaja’ dan penulisan Islami. Selepas mengikuti beberapa bengkel penulisan yang diadakan oleh pihak penerbitan dan mengikuti beberapa siri bengkel penulisan di penerbitan yang lain, saya tekad mahu menghasilkan novel pertama. Memandangkan ‘Dia, Sahabatku’ sudah beberapa kali dikemas kini, saya ketepikan dahulu projek ‘Sudikah Kau Menjadi Kawanku’ judul asal novel ini.
Setelah terhasilnya ‘Terima Kasih Adik-adikku’ dan berjaya diterbitkan, saya kembali menyusun jalan cerita ‘Dia, Sahabatku’. Saya menulisnya semula dengan menggunakan semua tips dan teknik yang saya pelajari melalui bengkel penulisan dan perkongsian ilmu penulisan dengan rakan-rakan penulis yang lain. Alhamdulillah, ‘Dia, Sahabatku’ akhirnya menemui para pembaca.
PENGALAMAN
Sepanjang sesi penulisan nashkah ini, mengenali ‘Wasillah Wairah’ dan ‘Saif Al-Hanan’ adalah merupakan detik indah buat saya. Saya pernah bermimpi bertemu mereka beberapa kali. Entah mengapa, saya begitu mengasihi ‘Saif’ dan ‘Wassy’. Saya tersenyum, tertawa dan pernah menitiskan air mata selama mengenali mereka dalam karya ini.
Beberapa watak yang mendokong cerita ini juga sering menguji kesabaran saya sepanjang sesi menulis kisah remaja ini. Najwa yang menyimpan banyak rahsia dalam hati, ada ketikanya beremosi dan bersikap melindungi. Raudah yang bercita-cita tinggi sentiasa memberikan harapan. Izham yang iri hati sentiasa bertindak terburu-buru membuat saya berasa geram dan sakit hati. Lutfi yang penyayang dan mengambil berat sentiasa membuat saya tersenyum sendiri.
Persahabatan enam watak yang menghidupkan ‘Dia, Sahabatku’ sentiasa mengujakan. Sentiasa membuat saya berkobar-kobar dan paling saya tidak menduga, terasa sungguh berat untuk menoktahkan penghujungnya.
Berada di tengah-tengah kelompok enam sahabat ini mengingatkan saya pada sahabat-sahabat lama. Pernah berharap, mereka yang menghilangkan diri membawa haluan masing-masing akan bertemu kembali pada suatu hari nanti. Ya, suatu hari nanti ... insya-Allah!