Monday, November 08, 2010

WALAU AKU BUKAN SESIAPA

JURNAL: Puisi ini hanyalah suatu peringatan buat diri. Semoga Allah limpahkan hati dengan sifat rendah diri ... kerana kita hanyalah hambaNya.

Andai aku bukan bunga
Mungkin, aku hanyalah rerumput
Yang meliar hijau di permukaan bumi
Biarpun hanya sekadar rumput yang tidak berharga
Janganlah aku didustai
Janganlah aku diperkecilkan
Aku tahu posisi diri
Aku tahu kelemahan diri


Biar apa pun...
Itu bukan suatu kesilapan
Kerana Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia
Walaupun aku hanyalah rerumput kerdil
Yang sering dipijak dan sering dilupakan!

Barangkali...
Itu adalah satu kegagalan yang perlukan sedikit lagi kegigihan
Untuk diri mengingatkan
Betapa, wajah yang mendongak ke langit
Tidak selamanya memandang ke atas

Suatu ketika...
Akan tiba musim-musim gerhana
Bulan, matahari dan bintang-bintang akan bersembunyi
Pasti renungan yang menjauh tinggi
Akan singgah jua di kaki bumi!

Tuesday, July 06, 2010

JURNAL : Setelah sekian lama menyimpan ilham judul cerita ini, Alhamdulillah akhirnya...saya titipkan menjadi sebuah karya. Tegur-tegurlah...berpesan-pesanlah seandainya terdapat kekurangan.


BUKAN ASSALAMUALAIKUM TERAKHIR


Aku tidak pernah tahu, kalau mencintaimu adalah satu kesalahan. Aku pun tidak pernah tahu, kalau membencimu juga adalah satu kesilapan. Kesalahan yang membutakan hati. Kesilapan yang memesongkan langkah. Satu dendam luka yang telah menghitamkan rasa cinta. Cinta seorang perempuan yang bukan lagi satu kebahagian selepas kau mengenalinya semula…


“Asslamualaikum, Pak Dali? Boleh saya bawa Jannah temankan Nurul Ain? Nanti sebelum Maghrib saya hantar dia pulang. Saya mahu ke kelas tambahan. Mak Munah cuti, kurang sihat. Izinkan saya, Pak Dali?” Itulah ayat-ayat yang menghubungkan kita pada awalnya. Hanya kata-kata itu. Sering bermula selama beberapa ketika semasa ketiadaan Puan Syarifah Asmah dan Tuan Musa yang selalu ke ibu kota menguruskan hal-hal perniagaan. Ketika itu, aku masih di bangku sekolah rendah dan kau pula sudahpun melangkah ke tingkatan tiga. Kesopananmu terhadap kedua orang tuaku membuat aku benar-benar mengkagumimu. Ayahku pula amat menyenangimu. Kalian bagaikan teman rapat. Kalian berketawa dan tersenyum setiap kali saling bertukar cerita.

Monday, June 28, 2010

KENANGANKU

JURNAL: Cerpen ini pernah tersiar di Majalah Harmoni keluaran 1- 15 JANUARI 2007. Pada ketika itu, saya menggunakan nama pena, Dissa Che Wan.

SEPUCUK SURAT DARI GERIGI BESI

Dia termangu di situ, merenung kosong mentari senja yang berlabuh. Melihat warna jingganya makin menghilang. Seperti mana, sebuah kehidupan milik dia kian pudar sinarnya. Dia tersenyum kelat. Terasakan pahit sekali. Dia mengalih padangaan hambarnya pada sampul surat yang erat di genggamannya. Dia termenung sebentar. Lama. Di dalamnya, barangkali hanya menitip khabar yang sama.

Sufi,
Tahukah kau? Langkah yang kuatur di bumi Kuala Lumpur ini telah mengubah sama sekali cerita seorang gadis kampungan sepertiku. Aku bukan gadis liar yang biasa terpapar kisahnya di kaca televisyen. Aku juga bukan gadis bebas yang mudik ke sana dan ke mari dengan sesiapa pun jua kenalannya. Kupegang erat restu dan pesan ibu, takwa dan iman jangan sekali diabaikan. Tiada yang salah di situ. Aku hanya gadis biasa! Aku tidak pernah menyakiti sesiapa. Aku bekerja keras saban hari. Pun di mana silapnya aku tidak tahu. Mengapa tiba-tiba menjelma bagaikan satu hukuman!

Wednesday, June 23, 2010

JURNAL: Ketika melakar bingkisan ini, saya benar-benar kecewa. Bagaikan tiada sedikitpun ruang untuk saya melangkah maju ke hadapan, walaupun hanya setapak. Bertanya pada diri, mestikah saya bersedih? Balas Sang Hati...janganlah bersedih, bertahanlah untuk sesaat lagi. Pasti akan ada sesuatu yang indah menantimu di hujung waktu. Bersabarlah...


DI TABIR MIMPI

Aku terjaga dari tidur
Aku rasa ingin menangis
Aku teringat bebayang suram yang baru pergi...
Lantas, kubuka jendela mimpi
Kulihat, warna pelangiku telah hilang
Kucium harum lavenderku yang kian kusam
Dan bunga-bunga sakuraku tidak berputik lagi!
Desis hati...mestikah terus menanti?
Ah! Titik permulaan yang terlalu rapuh
Untuk dijadikan persinggahan
Terlalu rapuh...untuk kuletakkan sejuta harapan
Harapan yang kulukiskan warna-warna impiana
Hilang dan terbang dibawa angin merah
Aku ingin pergi...benar-benar ingin pergi...
Aku akan kembali setelah memiliki bintang, matahari dan bulan
Bulan? Mampukah tercapai tangan?


Tuesday, June 22, 2010

MONOLOG RINDU BUAT AYAH

Aku dengar bunyi hujan jatuh di luar sana. Dari jendela kaca, kulihat segar airnya membasahi bumi. Sesekali, dingin semilirnya tersentuh di wajah suramku. Tiba-tiba, hatiku rasa bersekam. Sebaknya membahang di permukaan penglihatan. Ada baur sengsara bergelora di dalamnya. Pedihnya kian ngilu. Terungkaplah bisikkan itu dari hati yang terlalu sakit. Ayah, aku rindu padamu! Aku lafazkannya dengan penuh syahdu. Bertaburan kuntumannya di astakona milik kita. Taman rimbun yang kukira, terhimpun begitu banyak tawa dan air mata. Tapi, itu hanya luka kenangan, hanya kenangan! Mari, ku ajak dikau mendengar bicara sebuah hati. Yang kata-katanya, sukar benar kukalimahkan di hadapanmu. Dengarlah... 

Ayah,
Aku tahu, kasih sayangku terlalu ‘cacat’. ‘Kekurangannya’ begitu jelas di pandanganmu. Hinggakan, kau tidak sudi ‘melihatnya’, walaupun sebentar cuma. Aku juga tahu, ia tidak cukup ‘besar’ untuk ‘menakluk’, walaupun satu daerah kecil di hatimu yang tepu dengan cita-cita dan harapan.

“Saya akan cuba lagi.”

“Sampai bila? Sampai Ayah sudah bosan menasihati kau?! Ayah tengok, kau tak pernah cuba dengan bersungguh-sungguh pun!” Kemarahanmu deras berhambatan di pendengaranku. Sederas air yang mengalir menuju muara tidak berbekas. Lalu, hilang di laut luas.
Aneh! Suara garaumu bagaikan senyap dengan tiba-tiba. Berdetik di hati...barangkali, kau benar-benar sudah muak, jelak memarahi dan menegur akan sikap endah tak endahku. Ah!