Tuesday, July 06, 2010

JURNAL : Setelah sekian lama menyimpan ilham judul cerita ini, Alhamdulillah akhirnya...saya titipkan menjadi sebuah karya. Tegur-tegurlah...berpesan-pesanlah seandainya terdapat kekurangan.


BUKAN ASSALAMUALAIKUM TERAKHIR


Aku tidak pernah tahu, kalau mencintaimu adalah satu kesalahan. Aku pun tidak pernah tahu, kalau membencimu juga adalah satu kesilapan. Kesalahan yang membutakan hati. Kesilapan yang memesongkan langkah. Satu dendam luka yang telah menghitamkan rasa cinta. Cinta seorang perempuan yang bukan lagi satu kebahagian selepas kau mengenalinya semula…


“Asslamualaikum, Pak Dali? Boleh saya bawa Jannah temankan Nurul Ain? Nanti sebelum Maghrib saya hantar dia pulang. Saya mahu ke kelas tambahan. Mak Munah cuti, kurang sihat. Izinkan saya, Pak Dali?” Itulah ayat-ayat yang menghubungkan kita pada awalnya. Hanya kata-kata itu. Sering bermula selama beberapa ketika semasa ketiadaan Puan Syarifah Asmah dan Tuan Musa yang selalu ke ibu kota menguruskan hal-hal perniagaan. Ketika itu, aku masih di bangku sekolah rendah dan kau pula sudahpun melangkah ke tingkatan tiga. Kesopananmu terhadap kedua orang tuaku membuat aku benar-benar mengkagumimu. Ayahku pula amat menyenangimu. Kalian bagaikan teman rapat. Kalian berketawa dan tersenyum setiap kali saling bertukar cerita.



Mulanya aku hanya memuja keperibadianmu. Aku mahu menjadi seorang yang berhemah tinggi sepertimu. Merendah diri dan sering tersenyum. Tiada riak bongkak. Tiada warna angkuh yang terpamer di wajah putihmu. Tapi, aku tidak pernah terfikir, akan menyayangimu sedalam ini. Ah! Mengapa aku perlu letakkan namamu di tempat paling atas di dalam hatiku? Padahal aku pun tahu, betapa jauh berbezanya kau dan aku dari sudut material. Kau berumahkan atap genting. Aku pula hanya berteduh di teratak usang beratapkan rumbia. Resam dunia, enggang dan pipit manakan layak terbang seiringan. Aku tersenyum pahit… melepaskanmu tanpa pernah meluahkan apa-apa adalah perit.

“Sejak bila?” suara lembut Nurul Ain memecah kebisuan senja yang hampir hilang di pandangan mata. Sejuk angin laut menyapa wajah.

“Sejak di bangku sekolah rendah. Sejak kita sama-sama mahu menduduki UPSR,” balasku perlahan. Keakraban aku dan Nurul Ain tidak pernah membataskan apa-apa. Cuma, rahsia hati ini lama sedikit kusimpan di dalam dada.

“Pak Umair sudah tahu?” Aku menggeleng. Pak Umair, panggilan manjamu yang terbit mesra dari bibir Nurul Ain. Ada helaan berat terhembus bebas. Nurul Ain mengenggam erat jari-jemari runcingku. Tangannya dingin. Aku masih tenang. Aku tahu, apa yang sedang berlegar di benak Nurul Ain. Itu rasa bimbang yang mula ketara. Bimbang akan berdepan dengan kemarahan ibu dan ayahnya. Ah! Siapa tidak kenal dengan keluarga elit yang cukup disegani di daerah kami ini. Masakan tidak tahu, Syed Umair adalah bakal pewaris tunggal ribuan hektar tanah ladang kelapa sawit dan ladang getah. Satu-satunya adik lelaki kesayangan Puan Syarifah Asmah. Satu-satunya…

“Abang Umair tidak perlu tahu. Simpanlah sebagai rahsia,” pesanku pada Nurul Ain, anak saudara kesayanganmu. Aku tidak mahu meletakkan Nurul Ain di dalam situasi serba salah. Namun, segalanya sudah berubah sejak itu. Tanpa pernah kuduga, Nurul Ain hadir di hadapan pintu rumahku dengan linangan air mata.

“Ingat, apa yang berlaku adalah demi masa depan,” Nurul Ain berlalu tanpa sempat aku bertanya sebabnya. Beberapa ketika selepas itu, kereta besar berwarna hitam berkilat mengambil tempat di laman rumahku yang dihiasi bunga-bunga kertas berwarna merah dan putih. Angin petang membawa perkhabaran. Sewaktu Puan Syarifah Asmah melangkah pergi, aku lihat ibu menangis.

“Umair merisik,” Aku tersentak. Tidak kuduga cintaku tidak bertepuk sebelah tangan. Senyuman indahku meniti mekar di bibir.

“Ibu sudah menolaknya,” jawapan ibu membuat aku terpana dalam sejuta persoalan. Senyumanku mati dalam tanda tanya. Mengapa? Bukan ibu tidak tahu betapa selama ini aku begitu mengasihimu. Tergamaknya ibu…

“Umair mahu ke London. Jannah pun mahu ke universiti, kan?” Kesinambungan ibu membuat lidahku terus terkunci. Adakah sebuah kata-kata yang mampu menafikan hak ibu ke atas aku? Sejak ayah kembali ke rahmatullah, hanya itulah harapan ibu. Kalau bukan aku menjadi tunggak keluarga, siapa lagi? Adik-adikku yang seramai 3 orang itu, sangat-sangat memerlukan aku. Kejayaan aku adalah segala-galanya buat mereka. Akulah inspirasi. Akulah yang terlebih dahulu perlu berjuang. Demi keluarga, cita-cita besar ibu harus aku tunaikan.

“Suatu hari nanti, Jannah akan faham semuanya,” Jawapan ringkas ibu membuat aku mengatur langkah menuju ke rumah besarmu. Aku mahukan sebuah penjelasan. Ketika itu, aku lihat suatu majlis bermakna sempena keberangkatanmu ke seberang laut, sedang berlangsung di kediaman mewahmu. Namun, sebelum jauh langkahku menjejak ke lamanmu, Nurul Ain menyambar pantas tanganku. Dia membawa aku jauh dari suasana itu.

“Apa yang sedang berlaku sebenarnya, Ain?” Aku mencari kepastian dari raut kelam Nurul Ain. Wajah teduh Nurul Ain mengimbau perbincangan sulit ibu dan ayahnya beberapa minggu sebelumnya.

“Saya ingin pergi merisik Jannah demi menjaga hati Umair,” Sayup-sayup terdengar suara Puan Syarifah Asmah membolos ke telinga Nurul Ain ketika melewati kamar ibunya itu.

“Apa tukarannya?”

“Universiti untuk Jannah. Sampai dia tamat belajar, ” Lutut Nurul Ain mengeletar. Jantungnya berdegup pantas. Sampainya hati ibu meletakkan cinta dan cita-cita Nur Jannah semurah itu! Tidak pernahkah dia melihat wajah lembut Nur Jannah yang ayu bertudung itu? Bukankah Nur Jannah menepati ciri-ciri gadis pilihan ibu? Warak! Nurul Ain tidak mengerti, mengapa Nur Jannah tidak layak buat Pak Umair?

“Ain?” Lamunan Nurul Ain hilang dalam sekelip mata. Dia menjamah lembut wajah gundahku. Aku tahu, ada sesuatu yang menyelubungi kalbunya. Pastinya, dia menahan seksaan kerana terpaksa menangungnya sendirian.

“Tidak manis Jannah di sini. Baliklah,” Hatiku terselar! Saat itu, diriku terasa sungguh kerdil sekali. Aku berpaling ingin pergi. Saat itu juga, kau hadir di hadapanku. Wajah tenangmu sungguh kelam. Sekelam hatiku, barangkali. Jernih matamu memerah hambar. Aku dapat rasakan ada kesakitan yang sedang membahana di lautan hatimu yang pastinya bergelora dengan pertanyaan yang serupa denganku.

“Jadi Jannah mahu ke universiti? Tapi, bukan itu yang Abang Umair ingat,” katamu dengan rasa terkilan. Barisan ayat itu membuat aku tergamam sebentar. Akukah sebenarnya yang bersalah kerana menolak seseorang yang amat aku dambakan tanpa sepatah kata yang munasabah?

“Abang Umair pun mahu ke London. Sudah banyak kali Abang Umair tangguhkan. Tidak salah Jannah buat begini, kan?” balasku dengan rasa yang sama. Cukupkah alasan itu untuk menutup luka yang terpancar jelas di matamu?

“London juga haluan Jannah. Itu yang Abang Umair fikirkan selama ini,” katamu perlahan. Kesalmu tidak bertepi. Seperti hatiku yang sudah hancur luluh! Berderai kepingan impian yang aku lukiskan bersama denganmu dan Nurul Ain lewat senja itu. Ah! Lakaran detik itu adalah memori yang terlalu mahal buatku. Seribu kali sayang…aku tidak layak untuk itu.

“Kadang-kadang, mimpi kita serupa. Tapi, realitinya jauh berbeza,” Air mataku tertahan pedih di birai mata. Sebaknya menindih sarat di dalam dada. Ah! Helaanku retak bersama titisan air mata yang kuserikan dengan sekuntum senyuman pahit.

“Jodoh, pertemuan adalah milik Allah. Bukan hak kita menentukan arah,” Hatiku remuk! Kau mengangguk lesu. Ah! Kekecewaan itu sebenarnya amat dalam. Dalam…sehingga membuat aku berpatah hati!

“Jannah?” tegur gadis bertudung biru itu dengan wajah teragak-agak ketika mengamati wajahku. Aku tatapi wajah bujur sirih itu lama-lama. Nurul Ain? Hatiku terhenyak kuat. Dia tersenyum manis sambil menghulur salam. Salam kerinduan atau barangkali salam pertemuan semula, setelah 7 tahun tidak bersua. Kusambut dingin tangannya.

“Jannah..,”

“Jenny,” pintasku pantas. Senyuman di bibir Nurul Ain menguncup dengan tiba-tiba. Tidak percayakah dia dengan apa yang dia dengari? Atau dia meneka-neka apakah punca yang membuat aku menjadi seperti ini. Penampilan diri tiada lagi cerminan Muslim. Begitu juga dengan tingkah dan sikap. Ah! Aku bukan lagi seperti yang Nurul Ain kenali sedari kecil.

“Jannah, kenapa kau..,”

“Bukan! Dia sudah mati! Bukankah ini yang Cik Puan Syarifah mahukan?!” Kemarahanku meledak bagaikan gegaran atom. Air mata Nurul Ain menitis laju. Terasa bersalahkah dia bagi pihak ibunya yang bersikap angkuh itu?

“Maaf. Mak lakukan demi Pak Umair. Pak Umair perlu melanjutkan pelajarannya ke London. Masa depan keluarga kami di tangan dia. Mak fikir, Jannah halangannya,” lirih suara Nurul Ain membelah rasa di jiwaku. Bukan rasa kasih. Tapi, rasa luka!

“London?” sinis senyumku menyambut kata Nurul Ain. Calaran luka di hatiku bergema dalam ketawa jengkel yang sengaja aku besar-besarkan. Kebencian yang bersalut dendam! Wajah Nurul Ain suram sekali. Air matanya menitis tanpa henti.

“Tapi, bukan itu yang sebenarnya, Nurul Ain! Kau pun tahu, bukan?!” sambungku kasar. Nurul Ain tergamam kaku bersama gelengan berulang kali. Penafiankah itu? Sedangkan air matanya menitis laju. Aku menelan pahit pertemuan singkat ini. Luka silam telah terkoyak kembali. Sungguh memeritkan! Aku berlalu pergi. Aku tidak mahu bertemu Nurul Ain lagi! Aku mahu melupakan segala-galanya…

“Jannah!!!” Panggilan Nurul Ain dibawa angin petang. Hilang di dalam arus kota yang membingit. Kereta sport merahku meluncur laju. Selaju air mata yang membasahi wajahku. Aku teringat tentang kelmarin yang pergi. Kelmarin yang suram…

“Sampai bila ibu mahu rahsiakan perkara ini dari Kak Jannah?” lembut suara Suhaila, adikku yang belajar di tingkatan lima, membolos di telinga sewaktu kakiku mula mengijak anak tangga pertama. Cuti semester tahun akhir yang baru bermula, melakar episod tragis.

“Ibu terpaksa, Su. Ibu sudah berjanji pada Cik Puan,” jawapan ibu membuat langkahku terkaku. Degup jantung semakin kencang. Peluh dingin membasahi wajah.

“Tergamak sungguh dia lukakan hati Kak Jannah dan Abang Umair. Selepas itu, dengan mudah meletakkan kesalahan pada Kak Jannah dan keluarga kita pula,” balas Suhaila lagi. Aku hampir rebah mendengarnya.

“Tapi, dia yang beri kita duit untuk menampung pembelanjaan Kak Jannah di universiti. Itu gantiannya,” Jawapan ibu membuat aku terduduk lesu di atas tangga kayu itu. Air mataku menitis lesu.

“Tapi, dia juga yang paksa ibu menolak lamaran yang dia bawa sendiri. Dia memang sengaja mahu pisahkan Kak Jannah dan Abang Umair, ibu,” Resah suara Suhaila membelah rasa di hatiku. Rasa diperbodoh-bodohkan. Ia adalah satu penghinaan bagiku. Suatu ‘permainan’ orang berharta yang benar-benar menyakitkan. Air mataku berlinang tawar. Sedang hatiku sudah kosong. Sekosong-kosongnya!

“Jannah tidak mahu belajar lagi,” Aku membuat keputusan drastik. Tatkala itu, ibu mula jatuh sakit. Penyakit Kanser Usus ibu semakin kronik.

“Jannah mahu berkerja. Ibu kan sakit? Biarlah Jannah pergi, ibu. Lihatlah, mereka sudahpun memutuskan pasangan hidup untuk Abang Umair. Asslamualaikum ibu,” Itulah kata-kata terakhirku buat ibu dan adik-adik. Aku tidak berpaling lagi sejak itu. Ya, sejak hari bahagiamu dicanang di seluruh daerah ini. Hatiku yang luka sudah bernanah rasa dendam yang tidak bertepi! Aku tidak sanggup berdiri dan menyaksikan hari persandinganmu. Aku melangkah pergi. Pergi untuk melupakan segala yang menyakitkan. Aku ingin membina sebuah kehidupan baru.

“Tinggallah di rumah saya. Kita kan sama pejabat,” Sally, teman sepejabatku menabur budi. Tangan kerdilku menyambutnya dengan berbesar hati. Tidak pernah aku bayangkan, keikhlasan itu membuat aku terus berpaling dari kiblatku. Kehadiran Rizman, abangnya pula membuahkan rasa kasih yang tidak terhinggakan. Aku kira, dia layak buatku. Masih jua seorang yang berkelulusan luar negara. Masih jua seorang pewaris tunggal harta wang berjuta. Kos rawatan untuk ibu bukan lagi satu bebanan. Seluruh hidupku ditaburi nikmat dunia. Tidak terduga, kemewahan itu mula menutup pintu hati. Hati yang sakit menderita, mudahnya diperdaya. Lebih mudah merawatnya di bawah lampu indah pub dan kelab malam. Kerinduanku pada ibu dan adik-adik hilang bagaikan angin lalu. Kasihku terhadapmu jua kian lenyap. Kecintaanku kepada Allah Yang Maha Esa…akhirnya ghaib begitu sahaja.

“Assalamualaikum, Nur Jannah,” Sapaan itu membuat seluruh tubuhku mengigil. Sinaran matamu membuat diri terasa sungguh daif. Terlalu hinanya aku di hadapanmu saat ini. Nurul Ain menutupi badanku dengan kot coklatnya agar tidak menampakkan pakaianku yang kurang sopan. Suara Kuala Lumpur terasakan sunyi. Lampu-lampu neon berwarna oren mewarnai pertemuan yang barangkali sengaja Nurul Ain aturkan.

“Abang Umair tidak tahu, Jannah menderita begini,”

“Bahagia sebenarnya,” balasku mendatar dengan rasa angkuh.

“Kebahagian datangnya dari hati. Hati Jannah sedang menangis. Berilah Abang Umair peluang, Jannah,” Kata-katamu membuat aku terpaku. Sedang bermimpikah aku? Setelah aku hanyut di sebuah dunia asing yang cukup jauh tersasar dari landasan iman, kau hadir semula dan ingin membawa aku pulang? Pulang untuk siapa? Untuk apa? Masih layakkah aku berteduh di bawah rimbunan kasihmu, Umair?

“Kasih Nur Jannah telah ditukar milik dengan sebuah masa depan keluarga Syed Umair. Nur Jannah tidak mempunyai perasaan itu lagi. Tiada lagi…” Kekecewaan itu tidak pernah berkurang walaupun sebesar zarah! Aku ingin berlalu pergi.

“Nur Jannah yang Syed Umair kenali, berhati lembut. Nur Jannah yang Syed Umair cintai sampai ke detik ini, terlalu penyayang untuk melukakan orang lain,” Ayat itu berdesup laju singgah tepat di hatiku. Langkahku terhenti. Aku berpaling. Kurenung lama kolam matamu yang jernih. Kucari sinar kasih yang telah pergi. Aku terpana. Aku terlihat sesuatu di situ. Cintakah itu? Cinta yang sudah mati, masih mampukah Syed Umair hidupkan kembali?

“Nur Jannah bukan lagi orang yang sama. Tapi, Nur Jannah masih tidak sanggup melukakan orang lain. Lebih-lebih lagi, hati seorang isteri yang Syed Umair sayangi,” Dikau dan Nurul Ain saling berpandangan. Aku kembali melangkah.

“Jangan salah faham. Bukan begitu sebenarnya, Jannah. Pak Umair ikhlas,” Nurul Ain yang membatu, akhirnya bersuara. Sekali lagi langkahku terkunci. Aku menoleh. Kutatap lama wajah tenang Nurul Ain. Dia seperti aku 7 tahun yang lalu. Mudahnya menilai kejujuran dan keikhlasan orang lain. Padahal dalam masa yang sama, keikhlasan itu dikhianati tanpa rasa kesal sedikitpun.

“Berikan keikhlasan itu kepada orang lain. Aku bukan lagi Nur Jannah yang kalian kenali. Arah kita sudah jauh terpisah,”

“Jodoh, pertemuan adalah milik Allah. Bukan hak kita untuk menentukan arah. Cinta Syed Umair masih utuh. Dia simpan untuk Nur Jannah sebagai suri, ” Aku terpaku tanpa kata. Sengajakah kau memujuk hati dengan madah manismu yang penuh helah? Ada senyuman pahit meniti pedih di permukaan bibir. Hatiku sedang berdarah kerana sebenarnya aku ingin percaya. Sayangnya…keyakinanku terhadapmu sudah lama musnah!

“Nur Jannah sudah hilang. Cintanya juga sudah mati. Pulanglah Nurul Ain,” Aku memulakan langkah yang terhenti.

“Abang Umair akan selalu bermohon kepada Allah, agar kembalikan cinta itu ke dalam diri Jannah. Doa Abang Umair akan sentiasa mengiringi Jannah. Semoga Jannah diberkati Allah. Abang Umair akan tetap menunggu Jannah. Janji Abang Umair pada Pak Dali, akan menjaga Jannah sampai bila-bila,” Aku berpaling bersama rasa yang tersentak. Benarkah begitu? Oh! Ayah! Bayangan rindu pada ibu dan adik-adik menerpa di mataku yang mula suram. Air mataku gugur satu-persatu. Kukesat pantas air mata yang jatuh berlinang. Aku beredar meninggalkanmu dan Nurul Ain di tepian tasik biru itu.

“Majlis yang berlangsung, memang untuk Pak Umair. Namun, pengantinnya Ain. Pak Umair pulang dari London dan membatalkannya setelah mencapai persetujuan kedua-dua belah pihak. Memandangkan kad jemputan sudah diedar, maka mak minta Ain teruskan majlis tersebut,” Tergiang jelas di pendengaranku kata-kata Nurul Ain petang itu.

“Hubungan Jannah dan mak masih rengang. Ain fikir, itu bukan masa yang tepat untuk selesaikan semua perselisihan. Ain tidak mahu mengeruhkan keadaan. Maaf. Tapi, Ain mencari Jannah selepas itu. Sayangnya, Jannah sudah pergi tanpa khabar berita,” Nurul Ain terus tunjukkan aku bukti kasih sayangmu terhadapku. Tangisanku mengiringi memori semalam.

“Pak Umair pun menderita, Jannah. Dia kecewa setelah tahu semuanya. Dia membawa diri ke London. Dalam detik itu, dia mencari Jannah dengan pengupah penyiasat persendirian. Itu pun, tanpa pengetahuan mak dan ayah. Pak Umair pulang untuk Jannah. Mengapa Jannah terus menolak dia? Tidak layakkah Pak Umair untuk Jannah?” lirih suara Nurul Ain menjelaskan duduk perkara sebenar. Ah! Helaanku terlepas bebas. Bagaimana sebuah cinta sesuci itu akan bertaut tanpa restu orang tua?

“Mak telah sedar akan kesilapannya. Mak mahu Jannah kembali. Mak yang minta Ain memujuk Jannah. Janganlah berkecil hati lagi. Kita hamba yang lemah. Jangan jadikan itu sebagai sebab untuk Jannah terus membenci dan menyimpan dendam,” Nurul Ain semakin petah berbicara. Aku terkesima mendengar tuturnya. Hatiku? Telah terpanggilkah untuk aku kembali? Aku menangis lagi. Kabur air mataku mengimbau palitan dosa yang sungguh hitam. Masih adakah kerdipan cahaya yang akan menembusi dinding gelapku?

“Menangislah demi pintu taubat yang luas terbuka, Jannah,” suaramu lunak di telinga. Namun, aku menangis hiba. Aku malu!

“Jannah masih ingat tentang kisah taubat Nabi Adam yang menangis selama 300 tahun? Nabi Adam terkeluar dari syurga kerana tipu daya iblis. Nabi Adam sangat malu kepada Allah hinggakan tidak sanggup mendongak ke langit. Selama 100 tahun pula, Nabi Adam sujud di atas gunung. Nabi Adam tak henti menangis hinggakan air matanya mengalir ke jurang Serantip. Dari air matanya, Allah tumbuhkan pokok cengkih dan pohon kayu manis. Beberapa ekor burung telah meminum air tersebut dan rasanya sangat lazat. Sangka Nabi Adam, beburung itu sengaja mentertawakannya kerana menderhaka kepada Allah. Lalu, Nabi Adam menangis dengan lebih hebat lagi. Akhirnya, Allah sampaikan wahyu yang bermaksud: “Hai Adam, aku belum menciptakan air minuman yang lebih lazat dan lebih hebat dari air mata taubatmu itu,” Dikau seolah-olah tahu perasaan itu yang berkecamuk di dalam hatiku. Renunganmu teralih tepat ke wajah suramku. Barangkali, masih ada sesuatu yang ingin kau pesankan padaku.

“Allah itu Maha Pengampun dan Maha Mengasihani, pulanglah kepadaNya,” ungkapmu lagi. Esakkanku bersatu di noktah ayatmu itu. Ah! Nafas beratku terhela pasrah. Pertemuan itu telah membuat aku menoleh semula pada sesuatu yang sangat berharga dalam hidup. Keredhaan Allah!

Kulihat telekung yang terlipat kemas di sudut bilik. Kujamah lembut. Air mataku merembas lagi. Hatiku dipalu rasa rindu. Rindu pada ketenangan Nur Ilahi! Kubentangkan sejadah setelah wajahku dibasahi wuduk. Aku dirikan solat mengadap kiblat yang telah lama aku tinggalkan. Tangisanku bergema dalam doa kudus hanyalah untukMu…Ya Allah, berikanlah aku hidayahMu. Ampunilah dosa-dosaku kerana terlalu lama melupakanMu. Limpahkan aku kuniaMu. Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah!

Kututup jendela kasihku buat Rizman. Kusimpan budi baik keluarganya yang menjaga aku selama ini. Insya Allah, suatu hari nanti aku akan membalasnya. Apa yang berlaku kepada diriku, bukan salah mereka. Cuma aku yang terlalu ikutkan hati yang marah, benci dan kecewa. Aku yang hilang punca. Berpaut pula pada dahan yang rapuh. Akhirnya aku sendiri yang tenggelam dibawa arus.

“Asslamualaikum,” Kujengah wajahku di muka pintu. Ibu mendepa tangan bersama senyuman manis. Adik-adik meluru memelukku. Kudakap ibu dalam pelukkan sayang. Dapat aku rasakan…aku sudah kembali. Nur Jannah telah hidup semula!

Bunga-bunga kasihku memekar indah. Aku tersenyum. Aku kini berbahagia. Bahagia kerana mencintaiMu. Bahagia kerana Allah kirimkan Syed Umair berhati luhur menjadi peneman hidup. Syukur. Alhamdulillah!

3 comments:

  1. Selamat maju jaya

    ReplyDelete
  2. satu kisah yang menarik dan mengusik jiwa.terus kan usaha dan semoga berjaya

    ReplyDelete