Mrs. Novelist


Alhamdulillah. Novel kelima saya bakal menemui pembaca dalam waktu yang terdekat ini. Kisah dan penceritaan sekali ini begitu dekat dengan diri saya.

Mengenali watak ibu membuat saya tersenyum sendiri. Ibu ibarat superwomen yang tidak mungkin dapat ditumpaskan. Ibu sentiasa kelihatan hebat di mata anak-anaknya. Kebagusan ibu membuat Muiz, Muaz dan Lili terlupa seperkara kecil yang begitu ibu inginkan. Ibu mempunyai impian dan cita-cita yang tersendiri selain menjadi ratu di hati mereka. Ibu yang berjiwa kental lagi cekal. Ibu yang tabah dan sabar. Ibu yang penyayang dan berhati lembut.

Cita-cita yang ibu lakarkan dengan penuh kesungguhan itu, telah membawa sejuta harapan ke dalam hati Muiz, Muaz dan Lili. Harapan ini mencipta keinginan yang tulus. Mereka mahu membina cita-cita itu sebagai monumen kekal buat ibu. Begitulah kasih sayang dan kecintaan yang saya tumpahkan melalui penulisan sekali ini.

Saya semaikan sikap saling mendorong dan menyokong di antara satu sama lain yang cukup tinggi nilainya. Saya yakin, setiap kita yang berjaya tentunya berkat dokongan orang lain. Lebih-lebih lagi sokongan padu itu datangnya daripada ibu, ayah, suami, isteri, anak-anak dan ahli keluarga yang terdekat. Malahan bertambah kukuh dengan adanya doa dan restu.

Nantikan kemunculan novel ini di kedai buku berhampiran. Selamat membaca dan semoga beroleh manfaat. Terima kasih atas sokongan.

No comments:

Post a Comment