Sejuta Impian Sejuta Harapan.
Dia seorang insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa. Namun, dia ingin membina sesuatu agar dapat menjadi seseorang. Seseorang yang lebih bermakna, untuk diri, famili dan masyarakat.
Dia tersenyum, bila terkenangkan detik pertama dia tiba di lorong yang sudah lama dia terdorong. Bezanya, sekali ini...dia dapat melihat dengan jelas dan terang, apa yang diingini selama ini. Cinta pada pen dan kertas, memang tidak dapat dipisahkan dari dalam dirinya.
Hari itu, hari yang indah. Ceria dan segar. Dia menghadiri kelas pertama selepas belasan tahun meninggalkan alam persekolahan. Dia dikelilingi kenalan asing yang membuat dirinya terasa sungguh kecil sekali. Namun, mereka tetap menyambutnya dengan senyuman ramah, lirikan mesra dan dia mula merasa kedatangannya ke lorong itu sedang dialu-alukan dalam diam.
Mindanya didedahkan dengan satu pengetahuan baru. Ilmu penulisan. Penulisan itu bukan sekadar bercerita. Adalah satu kerugian bagi seseorang penulis itu, kalau hanya memaparkan cerita tanpa diselitkan ilmu yang dapat mendidik serta membangunkan jiwa. Dia terkesima. Fikirannya jauh mengembara. Mampukah dia? Layakkah dia? Sedangkan dia tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan alat bantu? Dia buntu! Dia keliru! Bagaikan tertutup jendela harapan yang mulanya terlihat cahaya bersinar cerah. Dia menoleh. Dia melihat di sekeliling... wajah-wajah kenalan baru yang mengkagumkan. Ah! Dia bukan sesiapa jika dibandingkan dengan sekalian yang ada. Dia tidak seharusnya berada di sini. Bukan di sini...
Langkah Seterusnya...
Memburu Impian Mengotakan Harapan.
Benarkah tempat dia bukan di sini? Mungkin, dia harus kuburkan impian dan cita-cita fantasinya itu. Dia tersenyum pahit dalam genang air mata yang mula berkaca. Haruskah dia melupakan … sedangkan dia sudahpun memulakan langkah pertama? Bukankah lebih mudah begitu? Menoleh dan terus beredar pergi...
Ketika itu, tergiang di telinganya, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Bukankah dia telah menyemai benih di atas landasan yang betul? Cuma, benihnya tidak tumbuh segar. Hanya perlukan sedikit sahaja lagi usaha dan kesungguhan. Keinginan itu membuat dia tersenyum sendiri.
Dia mula mencari seseorang, sesuatu atau barangkali alat bantu yang mampu menghidupkan semula 'roh' impiannya yang sedang 'nazak'. Dalam pencarian itu, telah membawanya singgah di suatu daerah yang menyemarakkan semula semangat dan keazaman di dalam diri. Janganlah patah semangat. Cekalkan hati. Bertabahlah! Dia himpunkan bilah-bilah perkataan itu menjadi benteng pertahanan yang paling kukuh sekali. Senyumannya kian melebar. Dia sudah temui apa yang ingin dia miliki. Dia sudahpun membuat pilihan. Nawaitu seikhlas hati... dia ingin menjadi insan yang tepu dengan kerendahan hati. Menjadi insan yang penuh dengan disiplin agar diri menjadi seorang yang istiqamah. Menjadi insan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan. Menjadi insan yang diibaratkan sebagai pemimpin kecil. Menjadi insan yang sentiasa mendambakan ilmu. Dalam erti kata yang lain, dia ingin menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Harap, dia belum terlambat...
Lalu, dia tanamkan sekali lagi, pepohon harapan di atas muka bumi yang nyata. Bersamanya dia semaikan warna-warni keyakinan yang sungguh indah. Bersamanya juga, dia titipkan iltizam yang mengunung. Dia tersenyum tatkala ia mula berputik. Dan, dia lihat dedaun itu mula bercambah. Namun, bila tiba saat itu, dia pun berpaling. Entah mengapa … dia berasa sangat takut! Takut, kalau yang tumbuh itu hanyalah kerdipan impiana suram yang tergaris jauh nun di ufuk. Entah mengapa juga … dia berasa bimbang. Bimbang, kalau dia hanya melihat mimpi. Mimpi yang tidak pernah pasti!
Tetapi kini, dia telah tetapkan langkah. Dia telah halakan pancainderanya tepat ke garisan yang ingin ditujuinya. Dia telah hidupkan sejuta harapan yang tidak mungkin akan mati. Dia telah warnakan sejuta mimpi yang tidak mungkin akan pudar. Dia juga telah bersedia untuk mengharungi segala rintangan dan dugaan yang bakal dia tempuhi sepanjang perjalanan ini. Dia telah pintalkan hatinya dengan rasa kental yang tidak mungkin punah didatangi kekalahan. Dia juga telah berusaha dengan gigih untuk menzahirkan mimpinya ke alam nyata melalui jalan yang berliku. Dan, dia yakin, di hujung jalan itu pasti ada sinar indah yang menanti. Semoga Allah redha! Mudah-mudahan ... Amin ...