Novel Pertama
Pernah bermimpi untuk tiba di titik permulaan ini. Namun, tidak pernah menduga … akan sampai suatu ketika, saya tersenyum penuh kesyukuran melihat mimpi menjadi kenyataan!
Alhamdulillah … akhirnya … sesungguhnya usaha di hujung takdir, begitulah kata mentor saya. Kata mentor saya juga, cita-cita hanya akan tercapai dengan usaha yang bukan mimpi. Kata seorang rakan penulis saya, kalau kita ingin belajar, serata alam mahu menjadi guru. Kata seorang kenalan penulis saya pula, kita harus mencari peluang. Bukan merebut peluang. Saya pinjam kata-kata mereka sebagai dorongan untuk lebih maju ke hadapan. Kata-kata itu juga menjadi penguat semangat saya selama menghasilkan novel pertama yang berjudul, ‘Terima Kasih Adik-adikku!’ ini.
Namun, tanpa sokongan padu dari mereka yang sudah lama berkecimpung di dalam arena penulisan ini, saya mungkin masih di takuk lama.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih buat Editor Kanan GISB, Encik Zakaria Sungib yang banyak memberi tunjuk ajar, bimbingan, berkongsi pengalaman serta menurunkan tip-tip penulisan yang sangat berharga. Tanpa jasa baik tuan, saya tidak akan tiba di garisan permulaan ini. Terima kasih yang tidak terhinggakan buat En. Amir Abd. Hamid (Editor Perolehan) dan En. Nasri Nasir (Editor Perolehan) serta seluruh jabatan buku GISB.
Untuk semua mentor saya, Puan Ummu Hani Abu Hassan, Puan Nisah Harun, Tuan Hilal Asyraf dan Puan Ainon Mohd (PTS UNIKA) terima kasih dan tahniah kerana perkongsian ilmu kalian yang cukup hebat dan bermakna itu telah melahirkan seorang insan kerdil yang hanya berbekalkan sedikit bakat anugerah Allah dan minat yang sungguh mendalam di bidang ini, akhirnya bergelar novelis!
Untuk semua famili, sahabat, rakan dan kenalan, terima kasih kerana mendoakan saya selama ini. Sokongan dan dorongan yang kalian titipkan menjadi inspirasi buat saya.
Semoga langkah saya ini, akan terus mara dan mara dengan jayanya. Suatu hari nanti, saya akan pastikan langkah ini jua, akan singgah di destinasi-destinasi yang pernah saya cita-citakan suatu ketika dahulu. Insya-Allah … mohon doakan saya kawan-kawan!