Monday, June 28, 2010

KENANGANKU

JURNAL: Cerpen ini pernah tersiar di Majalah Harmoni keluaran 1- 15 JANUARI 2007. Pada ketika itu, saya menggunakan nama pena, Dissa Che Wan.

SEPUCUK SURAT DARI GERIGI BESI

Dia termangu di situ, merenung kosong mentari senja yang berlabuh. Melihat warna jingganya makin menghilang. Seperti mana, sebuah kehidupan milik dia kian pudar sinarnya. Dia tersenyum kelat. Terasakan pahit sekali. Dia mengalih padangaan hambarnya pada sampul surat yang erat di genggamannya. Dia termenung sebentar. Lama. Di dalamnya, barangkali hanya menitip khabar yang sama.

Sufi,
Tahukah kau? Langkah yang kuatur di bumi Kuala Lumpur ini telah mengubah sama sekali cerita seorang gadis kampungan sepertiku. Aku bukan gadis liar yang biasa terpapar kisahnya di kaca televisyen. Aku juga bukan gadis bebas yang mudik ke sana dan ke mari dengan sesiapa pun jua kenalannya. Kupegang erat restu dan pesan ibu, takwa dan iman jangan sekali diabaikan. Tiada yang salah di situ. Aku hanya gadis biasa! Aku tidak pernah menyakiti sesiapa. Aku bekerja keras saban hari. Pun di mana silapnya aku tidak tahu. Mengapa tiba-tiba menjelma bagaikan satu hukuman!

Malam itu, sama seperti malam sebelumnya. Aku menapak sendirian sebagaimana selalunya. Saat yang sama, terbayangkan senyuman Iman yang aku rindukan. Seraut wajah ibu nan lembut bertamu di ingatan. Aku akan pulang ibu! Aku akan pulang!

Sepantas itu ada tangan kasar menekup mulutku dari belakang. Kegilaan apakah ini? Aku diseret tanpa belas kasihan. Aku cuba melawan. Cuba berteriak. Namun, suaraku tidak kedengaran lagi. Aku ditampar dan terus ditampar. Dia memegang erat kedua-dua belah tanganku. Sakitnya! Ada ketakutan bergetar di dalam diri. Dia merenungku tajam. Tamparannya singgah lagi ke wajahku. Berulang dan berulang, hinggakan aku tidak berdaya lagi. Dalam detik itu, nafsu 'kebinatangannya' merakus di sekujur tubuhku yang tidak mampu lagi bergerak. Air mataku tak henti menitis. Setelah dinodai, aku ditinggalkan di jalanan sepi lagi dingin dengan hanya berselimutkan 'angin malam'. Aku cuba bergerak, namun tidak berdaya. Aku menghulur tangan dan aku...tidak tahu lagi apa yang terjadi setelah itu.

Aku tahu semuanya adalah kenyataan. Aku bukan laluinya di alam mimpi.

"Itu takdir, sayang." Aku mendongak. Seraut wajah itu sarat dengan duka. Sebutir air mataku luruh di pipi yang masih perit. Takdir! Kudrat Tuhan yang tidak dapat ditepis. Siapalah aku untuk mungkir!

Suatu ketika yang gelap, aku terlihat Iman berdiri di suatu sudut yang hampir tersembunyi. Dia melangkah tanpa berpaling ke arahku. Kususuri langkahnya yang kian laju.

"Iman," langkahnya terhenti. Dia menoleh perlahan. Aku tersenyum penuh makna. Aku menghampirinya yang berdiri tegap di hadapanku. Namun, bila cuba kusentuh raut wajahnya, dia tiba-tiba menghilang.

"Iman!!!" panggilku nyaring. Sebentar itu aku terjaga. Ibu mengenggam erat jari-jemariku. Air mataku gugur bagaikan hujan yang luruh.

"Iman?" Ibu menunduk wajah. Wajah kelam ibu menceritakan sebuah kisah paling sedih. Ibu mendongak. Matanya berkaca-kaca.

"Dia takan datang lagi, sayang."

"Lillah," aku tidak menyahut. Hanya air mata yang membisikkan kepedihan hati yang telah hilang semuanya.

"Lillah," panggil ibu lagi.

"Dia satu-satunya, harapan tertinggi saya, bu. Orang yang paling saya sayang, selepas ibu. Tapi, dia pun tinggalkan saya, ibu. Tinggalkan saya!" Tatkala itu, tangisanku memecah kebisuan malam. Sehingga itu, ibu bertekad membawa aku pulang. Pulang ke halaman yang penuh dengan duri-duri yang berselerakan. Kiranya di sini mampu kubuang pengalaman pahit, aku rela meredah tajamnya onak yang menanti. Aku pernah berharap, masih ada sekerdip cahaya kerdil buatku. Namun, buat kali pertama, setelah berlabuh seketika di ibu kota, perasaan sayu tak mampu aku sembunyikan. Mengapa tiada lagi kegembiraan setelah tiba di sini? Mengapa segalanya bagaikan sudah berubah? Wajah Iman tiba-tiba menerjah di ingatan. Hanya diakah yang ada di sini? Mengapa tak kulihat, pepohon nan rimbun, redup dan teduh. Mendamaikan. Namun, di situ, hanya terlihat Iman, Iman dan Iman! Aku mengigit bibir. Menahan pedih yang tercalar di hati. Untuk apa kesedihan ini? Untuk siapakah aku menangisinya? Bukankah hanya aku yang merasakan sengsaranya? Bukankah hanya aku!

"Saya tidak ingin teruskan."

"Jangan Lillah. Dia tidak berdosa."

"Jadi?"

"Tabahlah hatimu nak, pasti ada hikmah di sebaliknya."

"Hikmah?" sinis kataku. Nyata, kekecewaan itu telah mengaburi pandangan mata. Hinggakan tidak percaya lagi pada keajaiban yang tersirat. Bilakah ia akan menjelma di alam nyata? Aku tidak percaya lagi. Aku pun sudah berhenti mengharap. Tapi, ibu tetap semaikan harapan dan kekuatan. Dia pimpin erat tanganku dan meniti waktu yang sangat gelap, bersama kandungan yang tak berayah ini. Yang ibu terima, hanyalah hinaan dan kata-kata nista. Usah pedulikan kata-kata orang, itu tidak penting. Namun, kata-kata dan pandangan orang meninggalkan impak yang cukup dalam. Akhirnya, ibu tertekan dan tak mampu bertahan lagi.

"Ingat, biar apa pun yang terjadi. Jaga dan didiklah dia dengan baik." Pesanan ibu yang terakhir, paling berat sekali. Tinggalkan aku sendirian melihat hitamnya masa depan. Dan anak kecil ini? Aku tak sanggup tatapi wajahnya. Aku terkilan sendiri. Bukankah siang dan malam aku menadah tangan, agar hadirnya dia hanyalah jasad tanpa nyawa! Tatkala itu tangisannya memecah hening pagi yang suram. Aku biarkan tangisannya berpanjangan. Aku bagaikan tidak mendengarnya. seolah-olah ada dinding pejal yang memisahkan kami. Detik itu, pesanan ibu terdengar jelas di pendengaran. Tangan ini terketar-ketar mengangkat dia yang masih menangis. Bila aku mendakapnya, terasakan hanyalah hambar! Berpisah dan pergi entah ke mana!

Kuala Lumpur, aku datang lagi. Datang bersama 'tsunami' yang telah menelan segalanya milik aku. Aku ingin membina semula kehidupan. Peritnya, sukar dilupakan. Namun, aku tetap menjaga dan menyekolahkannya demi sebuah janji. Jika itu adalah kasih sayang, dia memang silap mengandaikannya begitu. Aku sering menghayun tangan ke tubuh kecilnya untuk kesilapan yang remeh. Menampar dan menolak dengan seribu kebencian.

"Kau pecahkan?" Dia mengelengkan kepalanya. Air matanya tumpah laju. Ketakutan. Wajahku membengis memandangnya. Aku merenungnya tajam.

"Tak. Saya tak sengaja." Tersusun sayu barisan ayat itu. Namun, entah di mana kepincangannya, hatiku marak membahang. Raksunya tamparan singgah lagi di pipi gebunya. Aku menampar dan terus menamparnya tanpa henti. Dia terjelepok di tepi dinding. Kepalanya berdarah. Tangisannya semakin kuat. Pun, hatiku masih belum puas. kemarahan itu makin panas menggelegak! Dia berlari dari situ. Dia menuruni anak tangga. Pandangaku sinis tanpa belas, aku menolaknya. Dia terjatuh dan tidak sedarkan diri. Aku tergamam. Tanpa kata, aku terduduk di situ. Aku kebuntuan. Aku menangis pasrah.

Lewat dingin yang kelam, aku duduk di birai katilnya. Aku berjaga sepanjang malam. Entah mengapa, ingin benar kulihat dia membuka matanya semula. Perasaan takut akan kehilangannya bersilih ganti.
Tiba-tiba, pintu bilik wad ini terkuak. Aku tidak menoleh. Derap sepatu semakin hampir. Aku menundukkan wajah. Aku mendongak. Wanita beruniform biru itu memandangku lama. Satu helaan nafas yang sesak terlepas di persekitaran yang diam.

"Aku kira, aku cukup tabah menghadapinya. Rupanya, aku tidak cukup kuat untuk 'membunuh' rasa benci, marah dan dendam," ujarku perlahan. Masih bermakna lagikah perasaan itu di saat ini? Butiran air mata bertindih di birai mata. Lalu jatuh menjadi gerimis. Justera, aku dibawa pergi, tanpa sempat melihat dia terjaga dari lena. Langkah yang kususun ini takan tertoleh lagi. Aku telah tinggalkan tragedi kejam buat dia. Tiada apa mampu mengubahnya. Sekalipun tukarannya adalah gerigi besi ini. Kenyatannya dia akan berkerusi roda seumur hidup. Dan ... dia adalah kau, Sufi!

Sufi, segala yang ingin aku luahkan telah habis kulakar. Suatu ketika dulu aku gagal memberikan penjelasan. Kenapa, mengapa dan bagaimana aku sebelumnya. Kini sesudah sahih, ingatilah aku dengan cara yang mahu. Rasanya, kau telah cukup dewasa untuk memahami semuanya. Maafkan aku, kelak aku bukan sesiapa untuk kau temui. Sekalipun hayat ini telah terpisah dari jasadnya. Sehingga itu, jangan terlalu mengharap, kerana suatu ketika harapan itu mampu membinasakan.

Sufi mendakap erat surat ungu itu. Sungguhkah? Pelupuk matanya menghangat. Terjirus deras air matanya. Air matanya kian membahang. Ada getaran sayup-sayup kedengaran. Dia mengerakkan kerusi rodanya pantas. Laju dan laju. Akhirnya, dia tersungkur ke bumi.

"Mengapa, dia masih ingin kudakap? Masih ingin kukucup! Tetap aku rindu! Sedangkan dia masih enggan mengatakan aku adalah anaknya!"

Wanita separuh abad itu, mengangkatnya perlahan. Lalu dia menyeka air mata yang tumpah di pipi Sufi. Jelas, hati pemiliknya sedang menderita. Kata-kata terakhir Khalillah tergiang di telinga.

"Biarlah kebencian itu tinggal di dalam hatinya. Kerana, itu saja yang layak untuk aku." Lalu pintu besi itu tertutup rapat. Titisan air mata Khalillah membicarakan saat yang paling manis.

"Dia hanyalah mangsa. Mangsa luka perasaan yang tak ingin sembuh. Maafkanlah dia, demi ibu yang melahirkan." Sufi menggelengkan kepalanya. Lirih hati Sufi telah berkeping-keping. Mana mungkin bertakup menjadi satu kemaafan. Barangkali, hati yang patah itu seteguh tembok batu. Masakan percikan keikhlasan Khalillah mampu meruntuhkannya. Benar bagai yang di kata, melukakan tidak semudah melupakan. Emosi yang terkoyak akan luka sampai bila-bila.

1 comment: