Tuesday, June 22, 2010

MONOLOG RINDU BUAT AYAH

Aku dengar bunyi hujan jatuh di luar sana. Dari jendela kaca, kulihat segar airnya membasahi bumi. Sesekali, dingin semilirnya tersentuh di wajah suramku. Tiba-tiba, hatiku rasa bersekam. Sebaknya membahang di permukaan penglihatan. Ada baur sengsara bergelora di dalamnya. Pedihnya kian ngilu. Terungkaplah bisikkan itu dari hati yang terlalu sakit. Ayah, aku rindu padamu! Aku lafazkannya dengan penuh syahdu. Bertaburan kuntumannya di astakona milik kita. Taman rimbun yang kukira, terhimpun begitu banyak tawa dan air mata. Tapi, itu hanya luka kenangan, hanya kenangan! Mari, ku ajak dikau mendengar bicara sebuah hati. Yang kata-katanya, sukar benar kukalimahkan di hadapanmu. Dengarlah... 

Ayah,
Aku tahu, kasih sayangku terlalu ‘cacat’. ‘Kekurangannya’ begitu jelas di pandanganmu. Hinggakan, kau tidak sudi ‘melihatnya’, walaupun sebentar cuma. Aku juga tahu, ia tidak cukup ‘besar’ untuk ‘menakluk’, walaupun satu daerah kecil di hatimu yang tepu dengan cita-cita dan harapan.

“Saya akan cuba lagi.”

“Sampai bila? Sampai Ayah sudah bosan menasihati kau?! Ayah tengok, kau tak pernah cuba dengan bersungguh-sungguh pun!” Kemarahanmu deras berhambatan di pendengaranku. Sederas air yang mengalir menuju muara tidak berbekas. Lalu, hilang di laut luas.
Aneh! Suara garaumu bagaikan senyap dengan tiba-tiba. Berdetik di hati...barangkali, kau benar-benar sudah muak, jelak memarahi dan menegur akan sikap endah tak endahku. Ah!
Aku anak yang degil. Aku juga tidak pandai. Tidak sepandai anak emas yang Ayah puja. Ayah pun tahu, aku tak mampu menandinginya dalam apapun!

Result Muiz pun bukan bagus sangat,” Aku diam. Penawar terkilankah itu?

“Abang boleh cuba lagi dalam SPM kelak,” Ungkapan itu singgah lagi di pendengaranku. Intonansinya cukup indah. Namun entah di mana kepincangannya, kata-kata itu buat hatiku terpukul sendiri. Rasanya pun tawar. Payau! Pun hanyalah diam di situ.

“Mengapa Abang selalu macam ni?”

“Macam apa?” Aku memandang tepat ke wajah tenangnya.

“Selalu buat tak nampak, tak dengar saya. Abang sengaja, kan?” Diam. Perlukah aku berikan satu penjelasan? Satu huraian yang munasabah? Sedangkan anak kesayanganmu itu, lebih jelas...lebih mengerti akan itu? Ketika dia menagih sebuah jawapan, aku sering mengalih perhatianku ke sudut lain. Di sudut itu, aku terlihatmu. Renunganmu tajam. Setajam kata-kata yang tertikam di hatiku.

“Biarlah dia dengan cara dia. Biarkan saja. Kadang-kadang, kita lebih perlu ambil tahu pada yang lebih memahami. Mengapa kita perlu bersusah, ingin kisahkan seseorang yang tak pernah ambil peduli.” Aku sedar, Ayah tidak maksudkannya. Aku pun tahu, itu hanyalah satu perkataan saja. Namun entah mengapa, kata-katamu itu telah memperlihatkan aku akan sesuatu. Suatu genggaman tangan yang mula terlucut. Rasa kasih yang mula memudar. Rasa sayang yang mula membeku. Pun dalam diri berbisik...barangkali, ‘tanganku’ tidak mendakapmu dengan erat! Hinggakan, membuka ruang-ruang kosong yang mula melebar. Di rongga-rongga itu, bertamukan tawar. Hambar! Namun, aku tidak pernah percaya, kalau aku sedikit pun tidak berbekas di hati Ayah.

“Kamu ni, memang degil! Keras kepala! Jangan sampai, Ayah lupa, kau adalah anak Ayah!” Hatiku tersentak kuat. Namun aku yakin, kata-kata itu terlafaz di dalam rasa marah yang terguris. Aku mencari kepastiannya dari sinar redup di matamu. Dan, akulah yang terluka!

“Ayah bukan tak pernah bantah, marah atau larang kau dari terus berlumba di jalanan. Sudah banyak kali Ayah pesan! Tapi, kau sering lupa! Hati Ayah sangat sakit, kau tahu? Jangan sampai satu ketika, kau benar-benar menyesal kerana lupa apa yang pernah Ayah katakan!” Ah!!! Hatiku terpanah! Berdesup tepat pada luka yang memerah. Lama aku merenung sinar di mata tuamu. Ingin sekali aku katakan, bicara itu bukan lahir dari hatimu yang sebenar. Kau hanya tempiaskan rasa kurang senangmu dengan setiap tingkahku. Namun, ke mana menghilang teduhnya keikhlasan hinggakan di situ kutatap hanyalah kelam! Di situ juga aku saksikan hatimu yang ‘berkudis’. Lalu bernanah. Membusuk! Hanyirnya terbias dalam setiap baris perkataan dan perbuatan. Hatiku terkilan sendiri. Benarkah begitu sukar ‘melepaskan’ kehilangan seseorang yang kita impikan akan menukar sebuah kehidupan?

“Tengok! Apa yang telah kau buat? Dia adik kau! Adik kau!” Basah air matamu meninggalkan impak di hati kecilku. Sehinggakan aku tidak berani bersuara. Aku tidak berani lagi berdepan denganmu. Aku bimbang, sesalku yang tidak pernah patuh akan segala kata-katamu terbias di birai mata. Hatiku kian sengsara! Tapi aku tahu, rasa pedihmu melebihi rasa deritaku. Aku tahu itu, Ayah! Aku tahu...

“Kalau Muiz masih ada. Tentu hidup kita akan lebih baik. Kalaulah dia masih ada,” Kesalanmu sering buat hatiku terselar. Namun, aku biarkan angin lalu bawa lukanya pergi.

“Maaf. Saya bukan sengaja.” Riakmu tersentak.

“Bukan sengaja?! Kamu berlumba, ingat tu!” Aku terdiam. Parah luka di hati Ayah makin dalam.

“Kenyataannya, kamu yang bersalah!” Ayah telah menjatuhkan hukuman sabit kesalahan dengan bukti yang sangat sahih. Ayah benar. Kebenaran itulah buat hatiku rasa sakit! Sakit kerana aku tidak pernah lupa. Tidak pernah lupa bagaimana ‘permainan’ itu telah mengundang sesuatu yang tidak pernah aku jangkakan. Tidak pernah aku terfikir, ia akan aku lalui dalam realiti. Dalam satu kebenaran. Dalam satu hakikat!

“Muiz tak payah ikutlah. Bahaya, ni! Nanti Ayah marah!”

“Abang, kita sama-sama anak ayah. Sama-sama sudah dewasa. Tak salah, kalau Muiz ikut, kan?” Aku terpana. Benarkah begitu banyak persamaan? Akukah yang tidak nampak atau dia sebenarnya yang buta? Betapa selama ini, ada sesuatu yang memisahkan dunia kami adik-beradik. Aku memandang lama wajah tenang Muiz. Dia tersenyum nipis.

“Kau salah. Kita tak sama dalam banyak perkara, Muiz. Dengar sini..,” Terhenti sebentar di tanda koma itu. Diam. Aku menghela nafas panjang.

“Tahu tak, Ayah lebih sayangkan kau. Maka, kau mesti lebih dengar cakap dia. Kita memang telah dewasa. Bezanya, kau berwawasan. Abang pula, tak ada masa depan.” Ada senyuman penuh makna menguntum di bibir berkumis Muiz. Sungguh aku tidak mengerti! Dia memaut mesra bahuku. Hatiku tersentuh. Mengapa dia tidak pernah menghitung jarak yang sengaja aku bina di dalam pertalian kami sedari zaman kanak-kanak lagi? Mengapa dia tidak pernah melihat dengan jelas, garis yang sengaja aku lakarkan di dalam rasa dingin yang kian rengang? Mengapa bila setiap kali aku menjauh, dia sengaja hadir dekat denganku? Membaca dan menyelami sebuah rasa hati yang aku pendamkan selama ini.

“Apa yang abang cari dalam setiap perlumbaan itu? Apa yang abang ingin buktikan sebenarnya?” Aku tersentak. Aku berpaling. Kami saling berpandangan. Sekadar bertanyakah atau benar-benar ingin tahu? Senyuman di bibir Muiz makin mekar. Senyuman yang sama. Senyuman ikhlas lagi tulus. Sekudus hatinya yang menyayangi. Akhirnya, aku pun tersenyum. Senyuman penuh makna.

“Abang mengejar mimpi, mengejar impian. Abang ingin menjadi seseorang buat Ayah...di hati Ayah. Di hati keluarga kita. Cuma, Abang mengukir dan melakarnya di litar yang salah.” Muiz tersenyum lagi. Dia memandang lama wajah kelamku yang cukup tenang. 

“Dah tu? Tahu salah, kan?” Kami saling tersenyum. Cuma, senyumanku berputik sebentar cuma.

“Salah, kerana bertempur di medan yang lebih terbuka. Salah, kerana ia melanggar banyak peraturan. Pun salah, kerana Ayah tak pernah merestui. Tapi, dalam ketika yang sama ia memberi satu kepuasan. Ia membebaskan semua tekanan yang menindih di dalam diri. Ruang kosong yang kian terbiar, rasa terisi. Muiz takan faham!” Bisu di situ. Hanya senyuman nipis masih bermain di bibirnya yang basah. Aku tahu, dia mengerti. Dia memahaminya.

“Malam ini, biar kita sama-sama mengejar mimpi dan impian itu. Biar, kita sama-sama merasakan keterujaannya. Biar kita sama-sama bebas dari belenggu yang melingkari diri kita. Biar Muiz lebih memahami Abang. Dan, selepas ini, kita takan ada lagi perbezaan, kan?” Hatiku terhenyak sendiri. Sedang senyuman di bibirnya tidak sedikitpun berkurang.

“Muiz pun ingin menjadi seseorang di hati Abang,” sambungnya perlahan. Kata-kata itu buat aku terpaku sendiri. Dia mencapai topi keledar yang terletak di hujung serambi rumah tua Ayah. Aku menghampirinya. Aku merenung lama kolam matanya yang bercahaya. Ada sinar mulus di pelupuk jernih itu. Hatiku terpanggil untuk lebih menghormati permintaannya.

“Kalau Ayah marah?” tanyaku perlahan.

“Abang hanya perlu diam saja. Bukan salah Abang pun, kan?” balasnya acuh tidak acuh. Ah! Muiz, andainya saat itu bisa kuundur semula. Pastinya, aku lebih rela hati melihat kau bermasam muka sepanjang musim itu. Pastinya, aku lebih gembira mendengar rungutan kau yang takkan habis sehingga bertemu penghujung cuti semester. Tapi, bukan itu yang berlaku. Bukan! Kehilanganmu telah mengubah persekitaran hidupku yang rutinnya lasak dan liar. Situasinya bagaikan kaku dan bisu. Situasi itu juga mula meretak di seluruh ruang dingin yang mengelilingi aku dan Ayah. Akan terbelah dan relaikah ia? Hukumankah ini untuk kesalahanku kerana tidak berkeras denganmu? Seksaankah ini untuk kesilapanku kerana tidak membantah kata-katamu dengan lebih bersungguh-sungguh? Akukah yang sebenarnya bersalah?

“Memang salah kamu! Kalau bukan sebab kamu, dia tentu sudah menjadi graduan, menjadi doktor!” Ah! Ya! Ayah betul. Aku mula percaya, itu adalah silapku. Kesilapan yang masih bersimpuh di hadapan pintu kemaafan yang tidak bisa kukuak. Kesilapan yang takkan tertebus sampai bila-bila! Sesungguhnya, akulah yang bersalah! Akhirnya, aku akui! Air mata yang berbekas bagaikan tidak kelihatan. Kusimpan...kutenggelamkan di dasar hatiku yang paling dalam. Sampai satu ketika, perasaan terbeban itu, mengheret langkahku ke suatu persimpangan. Persimpangan yang sebenarnya sejak mula lagi terpisah dan terasing.

“Jangan pergi! Macamlah kau tak biasa dengan perangai Ayah, tu,” Ungkapan Kak Sue menyedarkan aku, betapa sebenarnya aku begitu memahami Ayah. Nafasku tersasar lelah.

“Ya, kerana terlalu biasa. Saya terasa letih! Saya sudah penat mengaku sebab sayalah, Muiz..,”

“Itu bukan salah kamu, Dahrul! Itu qada’ dan qadar Allah!” tegas suara Kak Sue membolos ke pendengaranku. Aku merenung lama wajah tenang Kak Sue. Aku percaya, Kak Sue sedang mempamerkan betapa dia tidak pernah menyalahkan aku. Tapi, hati mana tidak terkilan dengan perkhabaran pemergian Muiz di dalam tragedi itu.

“Kesilapan itu adalah satu kesalahan. Bagaimana ia berlaku, dalam keadaan apa ia tercetus, bukankah ia tetap satu kesalahan? Yang bersalah, memang seharusnya dihukum. Sayalah pesalah itu!” lirih suaraku kedengaran. Berkecai dalam kesalan nan terkilan. Kak Sue memandang lama wajah tenangku nan kelam. Ada senyuman yang retak di bibir manisnya.

“Apa yang telah berlaku, memang tak mampu kita ubah. Tapi, kita masih berkesempatan mengubah haluan yang tersilap itu.” Senyumanku bagaikan berselerak dengan serpihan kaca yang memedihkan. Hatiku hancur sendiri.

“Kalaulah kesempatan itu mampu ‘hidupkan’ saya di hati Ayah. Kalaulah kesempatan itu mampu ‘wujudkan’ saya di mata Ayah, saya akan! Tapi saya tahu, saya tak mampu! Saya sudah lama lenyap, ghaib dan hilang dari penglihatan Ayah! Saya tidak ada di hati Ayah, kak! Kak Sue pun tahu itu, bukan?” Air mataku luruh di pipi. Kak Sue mengenggam erat jari-jemari kasarku. Ditatap lama mataku yang digenangi kesedihan. Senyuman hambarnya jelas terbias di sebalik matanya yang menahan sebak air mata.

“Jangan sekali-kali kau fikir, Ayah tidak mengasihi dan menyayangimu. Kau pun tahu, itu tidak benar!” Ayat itu bertitik sebentar di situ. Diam. Rembasan air mataku renyai di pipi!

“Dengar ni, setiap orang berbeza meluahkan rasa hati dan perasaan. Kadang-kadang, itu sekadar untuk menutup kepedihan di hati sendiri. Ayah pun begitu. Dia, kita, hanyalah manusia biasa. Dia bukan sengaja.” Aku ingin sekali percaya akan ungkapan itu. Walau retak di hatiku bagaikan enggan bertangkup lagi. Aku cuba percaya buat kali ke penghabisan...

Ayah,
Kali terakhir, aku berdiri di muka pintu. Aku masih berharap, kau menoleh dan berkata ‘jangan’. Lalu, aku berpaling sambil merenung tepat ke matamu. Aku ingin sekali mendengarnya. Walau hati aku berkali-kali mengatakan itu adalah tidak mungkin!

“Saya pergi.” Diam. Tiada sahutan. Aku mencari-cari, di mana tersembunyi kasih sayangmu yang sedikit itu. Aku terkedu lagi kerana bayangan yang kucari tidak kutemui!

“Pergi sajalah.” Hatiku lebur! Rasa terhirisnya kutelan dengan cukup perit sekali. Aku berlalu pergi. Tanpa berpaling. Tanpa pernah berjanji akan menoleh walaupun hanya untuk sekali! Aku pergi dengan harapan dapat melupakan segala-galanya. Rasa bersalah. Rasa terluka! Aku ingin membina sebuah kehidupan baru. Dunia aku sendiri! Dunia yang mengajar aku untuk menutup semua pintu memori silam. Dunia gelap yang bernyawa dalam setiap perlumbaan haram yang kerapkali aku sertai. Dunia hitam yang aku warnakan dengan setiap teguk minuman keras yang telah menjadi gaya hidup baruku. Astaghfirullahalazim! Mengapa kekecewaan itu, aku izinkan meragut seluruh kehidupanku? Tiada apa lagi yang tinggal! Aku kalah! Aku punah!

Ayah,
Bertahun aku melihatmu dari suatu sudut yang sangat jauh. Kau masih bagai dulu. Wajah bengis, garau suaramu pun masih sama. Namun kukira, kau amat berbahagia. Bahagia meniti hari senjamu. Dan aku? Bahagia? Bahagiakah aku, kalau syurganya ada denganmu? Bahagiakah aku, kalau segala rasa tenangku masih di sisimu? Dari kejauhan ini, aku bertanya pada diri...masih ingatkah Ayah padaku? Anak yang telah Ayah lupakan untuk suatu detik yang cukup lama? Masih sudikah Ayah menerima anak sedaif aku? Bisakah Ayah memaafkan seseorang yang begitu banyak berdosa ini? Maafkan aku, Ayah! Maafkan aku! Kemaafanku masih bermohon di persisir luka hatimu yang tidak pernah sembuh!

“Saya ingin sekali bertemu Ayah,” desis hatiku yang kian memedih. Sedangkan, ia bergema hanya di sebuah laluan yang terpencil! Lorong sempitnya mula menampakkan titik akhir. Rindu yang maha tulus ini benar-benar mendambakanmu hadir di sisi. Tapi, bagaimana aku ingin berdepan denganmu dalam situasi fizikalku yang terbatas? Malah, aku bertamu lesu di ranjang putih ini. Aku mengidap barah hati, Ayah! Jiwa yang terlalu banyak ruang itu telah aku penuhi dengan racun. Ahh!!! Aku terlihatmu dalam tangisan sesalku. Rasanya, aku ingin mendakapmu seerat mungkin. Biar tiada sedikitpun ruang di antaranya. Aku ingin zahirkan kasihku dalam baur harum lavender yang berbunga di setiap sudut hati kusammu. Aku ingin bermukim kukuh di pedalaman hatimu yang paling besar. Biar kau lihat dengan jelas, betapa sebenarnya, aku amat mengasihimu. Walaupun aku hanya sekadar aku!

“Ayah dah tahu?” Aku tersentak. Mataku kembali berbahang. Titis nestapanya luluh di pipi. Kususun rapi nafasku nan retak. Aku berpaling. Mata Kak Sue sarat dengan duka kesedihan.

“Beritahu dia, seorang lagi anaknya akan mati di katil hospital?” Ada rasa yang tersentap. Larakah itu? Aku pejamkan mataku rapat-rapat. Aku tidak sanggup berhadapan dengan kepedihan itu lagi. Biar segalanya menjadi sunyi. Sesunyi suara hujan di luar sana yang sudah pun berhenti...

“Dahrul?” Sayup-sayup kudengar suara itu memanggilku. Aku menoleh. Dia tersenyum. Dia mendepakan tangannya dengan lebar. Spontan, aku mendakapnya penuh emosi. Segala beban di jiwa berterbangan di awanan. Hilang. Bebas! Perasaan yang kunantikan selama ini, bersatu dalam derai sedu-sedan. Ayah!!! Lenaku tersentap. Aku terjaga. Di kamar itu hanya ada aku! Pelupukku menghangat semula. Air mataku relai di pipi. Tangisku berpanjangan dalam harapan yang cukup besar. Biar kujamah rasa kasihmu. Biar kuusap renungan sayangmu. Biar aku tahu, rinduku... rindumu jua!

No comments:

Post a Comment