Saturday, February 02, 2013


RINDU DINGIN MUSIM TENGKUJUH

Aku lihat hujan jatuh di hujung jendela kaca. Titisannya mengimbau banyak nostalgia. Aku menarik nafas dalam-dalam sambil kupejamkan mataku rapat-rapat. Segar angin itu membawa aku jauh mengembara. Mengembara mencari monumen kenangan yang terbina waktu kecilku … .

Hujan masih belum berhenti. Jernih air hujan mula memenuhi laman. Sayup-sayup kedengaran, ombak pula kian deras menampar dada pantai. Aku tersenyum sendiri. Saat yang dinanti-nanti bakal menjelma. Tidak esok, mungkin lusa. Mungkinkah juga malam ini? Oh! Hatiku melonjak-lonjak kegirangan.

Sejak matahari mengundurkan diri buat sementara waktu, banyak persiapan lain yang ayah dan ibu sediakan buat aku, kakak dan abang. Baju tebal atau aku lebih suka memanggilnya baju sejuk sudah ayah belikan. Baju sejuk yang berwarna merah jambu terang itu menjadi kegemaranku. 

Pagi itu, ibu kejutkan aku lebih awal daripada biasa. Ibu tersenyum kepadaku yang mengeliat malas itu.

“Air sudah naik,” kata ibu dengan senyuman manisnya yang kian melebar. 

Aku ternganga bagaikan tidak percaya. Kemudian, aku cepat-cepat bingkas bangun dan berlari laju menuju ke jendela. Kilauan air bah kini sudah memenuhi laman. Aku membuka pula jendela di bahagian kiri rumah pula. Air bah itu juga sudah melimpah di situ. Rumahku ketika ini sudah dikelilingi air! 

Aku berlari anak menuju ke pintu dapur. Aku bergegas ke rumah jiran sambil meredah sejuknya air yang membanjiri kawasan rumah.

“Bah! Sudah bah!” kataku dengan girang sekali.

Selepas itu, aku dan jiranku tadi bergegas ke rumah jiran yang lain pula. Kami berkumpulan meninjau ke serata kampung. Kami menyeberang dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Hinggakan aku hampir dibawa arus kerana gagal mengimbangi diri, sewaktu menyebarangi jalan untuk ke rumah jiran yang terletak di hujung kampung. Bukan itu sahaja, ada sesetengahnya berpelampung dan berperahu. Tidak kurang juga yang berpayung sambil menjinjit selipar masing-masing. Tua dan muda saling tertawa riang. Sesekali bergelak ketawa sambil bermain air. Air bah oh! Air bah! Kedatanganmu sedang diraikan!

Sepagi kami bermain air. Badan sudah menggeletar kesejukan. Bibir pun sudah kebiru-biruan. Namun, hati terasa berat untuk pulang ke rumah. Sebentar lagi, air bah ini akan surut. Penduduk di kampung seberang, yang kini sudah ditenggelami air sedang menggali kuala, agar air bah itu terlepas ke dalam laut. Situasi ini berlaku kerana kampung mereka terletak benar-benar di tepi sungai. Maka, air bah terlebih dahulu melanda kampung mereka. Dengan cara ini, mereka dapat menyelamatkan keadaan yang berkemungkinan besar menjadi bertambah buruk.

Sepulang ke rumah, kopi panas dan ubi kayu rebus sudah menanti untuk dijamah. Usai mengenyangkan perut, aku tertidur keletihan. Apabila terjaga, menu tengah hari sudah ibu sediakan. Telur dadar yang dicampur ikan budu (ikan yang diperam garam dan disimpan dalam tempoh yang agak lama. Kategori ikan pekasam) dan sayur lemak pucuk ubi kayu, memang santapan biasa musim-musim begini. Sesekali sardin dan ikan masin mengambil alih menjadi menu utama. Tiada pilihan. Jalan utama ke bandar sudah dinaiki air. Begitu juga dengan jalan alternatif. Pada ketika ini, ayah dan abang akan sibuk menahan pukat di muara sungai. Jika ada rezeki, dapatlah kami sekeluarga merasa ikan atau udang segar.

Pada musim itu juga, sebelum malam, aku sudah siap sedia di hadapan ayah yang sedang menyalakan lampu gasolin. Ibu pula sibuk menyalakan pelita minyak tanah. Bekalan elektrik telah terputus sejak beberapa hari yang lalu. Begitulah untuk esok, lusa dan hari-hari seterusnya sehinggalah segalanya menjadi pulih seperti sediakala. Seluruh kampung bergelap. Malam kian larut. Hanya bunyi hujan kedengaran. Sesekali kedengaran suara si katak yang terus memanggil hujan. Bertemankan samar-samar cahaya pelita minyak tanah itu, aku, kakak dan abang saling bertukar cerita seram dalam versi  kisah 'Pada Zaman dahulu'. Ada ketikanya pula kami juga bermain bayang-bayang. Riangnya kami waktu itu hinggakan tidak sedar malam kian larut. Segalanya bagaikan bergema di telingaku saat ini. Oh! Kakak dan abang ... entah mengapa aku berasa begitu rindukan kalian! 

Musim itu juga, tidak lengkap tanpa ubi biru yang dicecah bersama kepala parut. Tidak manis tanpa putu ubi kayu berbentuk bulat, bersaiz lebih kurang sebesar piring dan di dalamnya berintikan gula melaka. Pasangan putu ini juga adalah kelapa parut. Satu-satunya yang aku ingat sampai hari ini, adalah putu gula melaka mak ngah, yang rumahnya terletak di belakang sekolah rendah di kampungku. Namun, bukan itu yang paling aku rindukan. Aku rindukan kerabu bunga kacang laut masakan ibu!

Aku tidak pasti, nama saintifiknya. Tumbuhan ini berjalar di atas pasiran pantai dan bunganya berwarna ungu. Setahu aku, ianya tumbuh hanya pada musim tengkujuh. Bertahun ketiadaan ibu, aku tidak tahu sama ada, kacang laut ini masih wujud atau pun tidak. Lataran, ombak sudah menghakis pantai. Kini, hanya batu-batu besar yang menjadi benteng.

Puluhan tahun berlalu. Waktu itu, begitu aku rindukan saat ini. Lebih-lebih lagi aku kini berada di tempat orang, yang tiada kebarangkalian langsung untuk aku mengulanginya semula. Aku hanya menyaksikan kemeriahan itu melalui kaca televisyen sepanjang banjir melanda di bumi bertuah itu.

Sungguh! Memori itu tinggal memori. Memori biasa-biasa yang akan kusimpan kemas sampai bila-bila!

Aku rindukan hujan itu
Aku rindukan bah yang dingin
Aku rindukan lagu ombak yang membahana
Aku rindukan segalanya mengenai musimnya
Aku tahu 
Aku paling rindukan ibu!

Al-Fatihah buat bonda tercinta. Semoga rohmu dicucuri rahmat. Amin. 

4 comments:

  1. Akhirnya ada catatan baharu di blog akak. :)

    -jamilah

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas sokongan. Insya-Allah akan datang ke blog akak, 'AJNABI'.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas sokongan. Insya-Allah akan datang ke blog akak 'AJNABI' sekitar minggu depan.Doakan akak, ya.

    ReplyDelete
  4. Ni ke mak beh novel berssiri tu?

    ReplyDelete