Wednesday, October 31, 2012


AKU, UNIT KECEMASAN DAN KEMATIAN

Hari itu, mendung. Angin agak kuat di luar rumah. Tidak sampai beberapa saat, hujan mula mencurah-curah dengan lebatnya. Kesan asma yang menyerang sejak malam tadi, kian terasa sakitnya. Saya kelesuan setelah mengambil satu biji lagi tablet ventolin 2mg disamping inhaler yang tidak terlepas daripada genggaman. Lain benar serangan sekali ini. Saya pernah alaminya kira-kira lima tahun yang lalu. Hampir sama. Namun, sekali ini kelihatan agak serius. Puas saya cuba mengingatkan puncanya sehingga tercetusnya ‘kemarahan’ asma sekali ini. Namun, saya gagal mengesannya.

Beberapa minit berlalu, keadaan saya bertambah teruk. Batuk-batuk kecil bagaikan tidak mahu berhenti. Muntah bendalir menyukarkan keadaan. Nafas saya bagaikan tersekat. Peluh dingin nan cemas serta panik membasahi wajah. Justeru, saya meminta anak sulung saya mendapatkan bantuan jiran bagi membawa saya ke hospital, lataran suami dan adik saya bertugas di luar kawasan pada saat itu. Sejurus itu, saya dibantu oleh anak perempuan saya yang berusia 10 tahun, menyiapkan dokumen untuk dibawa ke hospital.

Kurang sepuluh minit, jiran yang merangkap sahabat baik saya tiba di muka pintu. Dia memimpin saya yang sangat-sangat tidak berdaya itu. Dalam keadaan yang cuba bertenang, saya tetap kalah! Dua tiga langkah keluar dari rumah, saya terpaksa berhenti. Situasi pada ketika itu, bagaikan sedang memikul batu besar di belakang dan ditindih bahan yang sama di atas dada. Namun, saya gagahkan diri. Dengan langkah berat dan tersekat-sekat, saya menuruni anak tangga dan terpaksa berhenti di setiap tujuh anak tangga yang mempunyai empat belas anak tangga, dari satu tingkat menuju ke satu tingkat yang lain. Saya pula tinggal di tingkat lima. Ketika itu, saya terfikir … mungkin inilah kali terakhir saya melihat wajah anak-anak saya.

Sepanjang perjalanan ke hospital, hanya zikir yang terbit di bibir. Setiba di hospital, saya terus disorong dengan kerusi roda oleh sahabat baik saya. Pembantu Perubatan (MA) yang tertugas di pintu masuk Unit Kecemasan dan Trauma, segera menghampiri dan mula bertanya masalah kesihatan saya. Ketika itu, saya sudah tidak boleh berkata-kata langsung. Dalam situasi itu, dengan nafas yang tersekat ketat dan hanya gerakan bibir terbaris perkataan ini, “Asma.”  

Kemudian, saya diperiksa dalam kiraan beberapa saat sahaja. Tanpa berlengah lagi, saya disorong oleh sahabat saya tadi, dengan bantuan petugas Unit Kecemasan menuju terus ke Ruangan Asma. Alhamdulillah, rawatan pusingan pertama berjalan dengan lancar. Saya kepenatan, namun sudah boleh bercakap. Lebih kurang sepuluh minit berlalu, saya diberikan dos kedua bersama satu suntikan di tangan kiri. Segalanya tampak lancar dan keadaan saya beransur baik. Namun, dalam saluran pernafasan saya masih terdengar bunyi-bunyian, yang menimbulkan kerisauan. Kemudian setelah berehat agak lama, saya diberikan dos ketiga pula. Selepas itu, saya dirujuk kepada doktor yang bertugas. Doktor itu mula menyoal kronologi penyakit saya dari A sampai Z. Kemudian, saya diarah mengambil X-Ray. Tanpa banyak bicara, saya akur dan selepas itu saya menunggu lagi di ruangan asma untuk pemeriksaan lanjut. Debaran kecil meniti apabila doktor itu datang bersama rakan setugasnya seorang doktor lelaki yang berwajah serius. Setelah membuat pemeriksaan, saya ditolak masuk ke bilik kuning atau lebih sinonim dengan ZON SEPARA KRITIKAL.

Agak lama juga saya di situ. Debaran dalam hati bertambah kencang. Saya tahu, penghujung rawatan di sini pasti berlaku sesuatu. Kemudian, saya dipindahkan dari kerusi roda ke katil untuk rawatan selanjutnya. Darah saya diambil dan ketika itu, saya mohon jasa baik doktor perempuan tersebut untuk pulang. Saya tidak mahu, ditahan di wad!

Direnung wajah saya lama sekali, kemudian beliau berkata, “Keadaan puan tidak berapa bagus. Jika puan pulang ke rumah pun, sudah tentu puan akan datang balik ke sini. Saya pasti!” Jawapan tegas itu membuat saya terdiam dan akur lagi.

Berada di zon ini, membuat saya berasa tidak berapa selesa. Kes-kes kecemasan di kiri dan kanan saya menuntut kesabaran yang tinggi. Ada yang tersepit tangan pada mesin besi, yang ketika itu masih berdarah dan sedang ditekap dengan tangan kirinya. Ada yang ditimpa kemalangan dengan kesan kecederaan yang agak serius di lutut dan kaki. Lebih kasihan, anak-anak kecil menangis kuat lataran demam panas dan pelbagai situasi lagi. Saya mula terfikir, keadaan saya ini bukan seteruk mereka yang luka dan cedera fizikalnya. Saya masih boleh bercerita itu dan ini dengan sahabat saya, yang setia menemani ketika itu. Bagi saya, saya sudah sihat! Padahal, saya sendiri dapat merasakan masih ada timbunan-timbunan kecil yang menimbusi saluran pernafasan saya.

Kemudian, dos terakhir telah menentukan segalanya. Saya disahkan, benar-benar memerlukan rawatan selanjutnya. Tiada masalah dengan paru-paru setelah meneliti X-Ray, cuma saluran pernafasan saya tidak berfungsi dengan baik. Rawatan yang akan diberikan kepada saya setiap 20 minit sekali itu, menuntut saya tinggal di wad dan rawatan ini hanya untuk pesakit asma yang sangat teruk situasinya. Saya tetap berkeras demi anak-anak yang memerlukan saya. Begitulah naluri keibuan saya memutuskan kata. Puas beliau menasihati saya. Malah, beberapa orang doktor yang lain juga turut memberikan nasihat yang sama. Namun, saya tetap dengan pendirian saya.

Sebelum saya menandatangani surat merisikokan diri sendiri, beliau memberikan nasihatnya yang terakhir, “Bagaimana ya, ingin saya katakan dengan bahasa yang lembut? Hrmm … .” Saya menanti ayat seterusnya. Lama merenung saya, beliau menyambung, “Seorang pesakit itu tidak patut mati hanya kerana asma, sebab asma sebenarnya boleh dirawat.” Hanya ayat ini yang saya ingat dan semat dalam minda saya. Selebihnya, saya tidak fokus lagi.

Pada saat itu, dalam hati saya juga berkata-kata sendiri, “Seandainya telah ditakdirkan Allah mahu membawa saya pergi … tiada perkara yang saya kesalkan lagi, kerana anak-anak berada di sisi saya pada saat-saat terakhir saya. Saya redha!”

Lama membisu dalam tenang, saya mengangguk dengan senyuman tawar nan sekelumit. “Saya faham dan saya berjanji sekiranya saya diserang lagi, saya akan cepat-cepat datang ke sini untuk mendapatkan rawatan. Bolehkan, doktor?”

Dengan berat beliau mengangguk dan cuba melempar sekuntum senyuman nipis. Namun, itu pun beliau gagal lakukan dengan baik. Lalu beliau beredar pergi bersama dua orang lagi rakan setugasnya. Selepas saya menandatangani surat itu, sempat saya berkata kepada seorang lagi doktor yang juga merupakan rakan setugas doktor serius itu tadi. Kata saya, “Kadang-kadang, kita terpaksa membuat keputusan yang bukan pilihan kita.”

Beliau hanya mengangguk dan meninggalkan saya di situ. Saya dan sahabat saya, mula menapak menuju ke farmasi. Cerita hari itu bagaikan berakhir dengan begitu sahaja sebagaimana ia tercetus dengan tiba-tiba. Benarkah tidak ada kesinambungan lagi?

Menjelang pukul 11 malam, saya sampai di kawasan perumahan yang saya diami. Saya kepenatan dan begitu lemah sekali. Hampir di setiap tingkat juga saya terpaksa berhenti dan rehat. Syukur, saya selamat tiba di rumah biarpun dalam keadaan yang tidak berdaya. Awal pukul 12 tengah malam, saya terlena dalam keletihan. Namun, saya terjaga sekitar pukul 3 pagi dan mengerang kesakitan. Asma menyerang lagi! Saya panik seketika. Rasanya, saya mahu terbang ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Pada saat itu, tergiang-giang di telinga kata-kata akhir doktor tersebut. Terlintas di fikiran, adakah waktu saya telah sampai? Beginikah kesudahan pesakit asma seperti saya? Kematian? Oh! Ya Allah, Kau lindungilah aku! Hanya pada-Mu aku berserah!

Dalam situasi yang begitu cemas, panik dan lemah, entah bagaimana terterjah dalam hati bagaikan anak panah kata-kata ini: Dengan izin Allah, telah membawa saya pulang ke rumah dan sudah tentu saya mampu mengatasi segala permasalahan daripada keputusan tegas yang telah saya muktamadkan itu. Bukankah saya telah serahkan semuanya kepada Allah? Saat itu juga, bayangan wajah orang-orang yang saya sayangi dan kasihi bermain di mata. Cepat benar ia membakar semangat dan keazaman saya. Saya mesti terus bertahan demi mereka! Saya percaya, inilah keajaiban yang Allah kirimkan kepada saya. Lalu, saya berikhtiar dengan menyedut inhaler dengan lebih kerap. Alhamdulillah, sesak nafas saya dengan perlahan beransur-ansur stabil.

Saya tertidur sebentar. Saya terjaga, apabila terasa saluran pernafasan saya seperti diikat ketat. Bunyi nafas saya agak kuat sehingga membuat anak kedua saya, yang tidur di ruang tamu terjaga. Saya bingkas bangun sambil mengucap dan beristighfar banyak-banyak. Anak kedua saya mengosok-gosok belakang saya dengan perlahan-lahan. Tiada perkara lain yang saya fikirkan ketika itu, selain kematian!

Sekali lagi, saya memohon pertolongan Allah dengan bersungguh-sungguh dan hati yang benar-benar mengharap. Semoga Allah panjangkan usia saya, kerana banyak lagi perkara yang belum saya sempurnakan sebagai hamba-Nya yang kerdil. Tidak sampai beberapa minit, azan subuh mula kedengaran … Alhamdulillah! keadaan saya mula beransur lega. Namun, dada masih memberat dan saya sesungguhnya sudah tidak bermaya lagi.

Fajar mula menyinsing. Dengan wajah yang masih pucat, saya mula memakan ubat-ubatan yang doktor bekalkan. Alhamdulillah! Hari ini berlalu dengan baik, biarpun saki baki kesakitan kelmarin masih terasa. Saya sudah beransur pulih. Syukur pada-Mu ya Allah!

Banyak perkara yang saya belajar daripada pengalaman ini. Salah satunya: Jiran atau sahabat yang prihatin, mengambil berat dan melimpah kasih sayangnya bukan diukur daripada puluhan tahun perkenalan. Biarpun hanya mengenalinya melalui kepingan foto dan cerita di ruangan sosial, itu sudah memadai untuk mengeratkan ukhwah. Biarpun hanya bertukar pandangan serta pendapat, itu sudah cukup syaratnya untuk merapatkan silaturahim. Keikhlasan itu sememangnya tidak dapat dilihat. Namun hati dapat merasakannya. Terima kasih atas kiriman doa buat saya. Berkat doa-doa nan mulus itu, Allah telah kurniakan kesembuhan buat saya detik demi detik. Syukran!

Seperkara lagi, jika anda pesakit asma: DILARANG mengumpul, menangguhkan dan menahan serangan kecil asma, kerana ia boleh menjadi ribut taufan yang mengganas! JANGAN membebankan diri anda dengan terlalu banyak tekanan atau permasalahan dalam hidup. Cukuplah laluinya dengan berani, tabahkan hati dan redha. Ikhtiar dan usaha seadanya kudrat. Semuanya dalam aturan Allah. PALING PENTING: Jika keadaan sudah tenat seperti saya ini, cepat-cepat menghubungi ambulans.

Semoga kita sentiasa dalam penjagaan Allah hendaknya. Insya-Allah.